Antara soalan yang banyak ditanya oleh orang ramai berkenaan SUV Proton X50 yang baru dilancarkan adalah kenapa ia tiada ciri sambungan Apple CarPlay atau Android Auto. Sistem Geely Key User Interface terkini (GKUI 19) yang berada pada kenderaan itu adalah antara sistem yang paling canggih dalam pasaran, tetapi masih tiada dua ciri sambungan yang penting ini.

Rakan kerja kami, Jason Chung telah menulis sebuah artikel yang menarik dalam Bahasa Mandarin untuk menjelaskan perkara ini. Memandangkan rakan kongsi Proton, iaitu Geely adalah sebuah syarikat dari China, keputusan untuk tidak memasang ciri ini juga ada kaitan dengan negara itu.

Sekiranya anda tahu, China telah menyekat penggunaan Google, Facebook serta pelbagai lagi servis yang berkaitan untuk rakyat mereka. Ini juga memberi kesan secara langsung kepada aplikasi lain yang boleh digunakan dengan Apple CarPlay di negara itu seperti Google Maps, Waze dan WhatsApp. Android Auto memang tidak ditawarkan di sana.

Kekangan terhadap syarikat antarabangsa, digabung pula lagi dengan saingan sengit antara syarikat teknologi tempatan menjadikan rakyat China lebih gemar menggunakan aplikasi serta servis mereka sendiri. Di sana, untuk aplikasi navigasi, mereka banyak menggunakan AutoNavi dari Alibaba manakala untuk muzik, mereka menggunakan QQ Music keluaran Tencent bagi menggantikan fungsi seperti Spotify.

Servis ini biasanya sama ada sudah terus disepadukan pada sistem infotainmen kenderaan atau boleh digunakan dengan fungsi screen mirroring seperti Baidu CarLife. Oleh kerana itu, tidak banyak sebab untuk pengeluar kenderaan China membangunkan sistem infotainmen yang menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto – ada pengeluar yang berbuat demikian tetapi tidak termasuk Geely.

Apa pula kena mengena perkara ini dengan kita? Jawapannya adalah kos. Ya, memang Proton merupakan sebahagian daripada kumpulan Geely, tetapi pasaran Malaysia adalah kecil. Input yang diberikan oleh Proton cuma terhad kepada menterjemah sistem GKUI daripada Bahasa Cina kepada Bahasa Inggeris (sistem ini cuma boleh digunakan dalam satu bahasa utama sahaja), serta memadankan beberapa fungsi untuk kegunaan tempatan dengan bantuan syarikat ACO Tech.

Untuk membangunkan sistem GKUI versi baru yang boleh menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto, ia akan memakan kos yang banyak dan dianggap tidak berbaloi untuk pasaran yang kecil. Pada masa sekarang pemilik boleh menggunakan sambungan telefon pintar QDLink, yang menawarkan ciri screen mirroring untuk pengguna Android dan iOS.

Adakah mungkin Apple CarPlay dan Android Auto dipasang pada model Proton pada masa hadapan? Mungkin boleh, sekiranya ada cukup permintaan dan syarikat itu mendapati pelaburan tinggi yang dibuat adalah berbaloi. Satu lagi kemungkinan adalah melalui pasaran Eropah – Lynk & Co akan membawa sistem GKUI ke benua itu hujung tahun ini, dan sekiranya terdapat banyak permintaan untuk Android Auto dan Apple CarPlay, Geely mungkin terpaksa menambahnya kepada sistem mereka. Selepas itu, mungkin lebih mudah untuk ia diambil dan diguna pada model Proton.