Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

Kalau anda tertanya-tanya, kereta apa yang paling pantas di litar Nürburgring Nordschleife, tanpa sebarang ubahsuai dan sama spesfikasi seperti yang dijual di bilik pameran, ini jawapannya – Mercedes-AMG GT Black Series.

Kereta ini baru sahaja mencatatkan rekod baharu untuk kereta produksi terpantas di litar ‘The Green Hell’ berkenaan dengan catatan masa 6 minit 43.616 saat di pandu oleh pelumba GT3, Maro Engel bagi memadam rekod 6 minit 44.97 saat dicatatkan Lamborghini Aventador SVJ sebelum ini.

Malah, model paling liar AMG GT ini juga menunjukkan catatan masa yang jauh lebih pantas dari model AMG GT paling berkuasa sebelum ini iaitu Mercedes-AMG GT R Pro dengan perbezaan lebih 21 saat!

Mercedes-AMG GT Black Series ini masih dijana oleh enjin 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo dan sistem pelinciran jenis dry-sump, namun telah dirombak sepenuhnya dan diberikan kod M178 LS2.

Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

Dengan perubahan seperti menukar aci engkol dari jenis cross-plane kepada flat-plane, urutan nyalaan yang diubah kepada 1-8-2-7-4-5-3-6, aci seondol dan manifold ekzos baru, intercooler lebih besar, bersama roda pemampat pengecas turbo lebih besar, enjin ini mampu menghasilkan 730 PS dan tork maksima 800 Nm, berbanding 557 PS/680 Nm pada M178 pada GT R Pro.

Menurut Mercedes-AMG, bukan hanya kuasa kuda lebih besar yang membuatkan GT Black Series ini lebih laju, ia juga melibatkan perubahan aerodinamik dan juga talaan semula pada suspensi yang ekstensif. Splitter udara hadapan gentian karbon hadapan model ini telah dilaras pada posisi “Race”, manakala bilah sayap bawah dan atas pada spoiler belakang telah dilaras pada posisi pertengahan.

Model Black Series ini juga menerima kelengkapan aerodinamik yang diambil terus dari dunia perlumbaan sebenar. Antaranya adalah penutup bonet gentian karbon hadapan dengan dua liang ekzos bersaiz besar. Menurut Mercedes-AMG, ia bukan sahaja dapat mengalirkan udara panas keluar dari ruang enjin, malah turut memberikan downforce lebih kuat. Sebahagian bawah badan kereta ini juga ditutup bagi memberikan aliran udara lebih lancar.

Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

Manakala pada suspensi, penyerap hentak adaptif AMG boleh laras pada kereta ini direndahkan 5 mm di hadapan dan 3 mm di belakang bagi memperbaiki kesan venturi pada diffuser hadapan. Sudut camber pula ditala pada kedudukan paling maksima iaitu 3.8 darjah di hadapan dan 3 darjah di belakang.

Bar anti-oleng pada AMG GT Black Series ini juga boleh di laras, di mana Engel memilih tahap kekerasan paling maksima. Engel juga memilih untuk melaras sistem AMG Traction Control (larasan maksima pada tahap sembilan) kereta ini pada tahap enam dan tujuh bergantung pada seksyen litar.

Mercedes-AMG turut menggunakan tayar yang sama seperti tayar yang diterima oleh pelanggan ketika membeli kereta ini di bilik pameran iaitu Michelin Pilot Sport Cup 2 R MO dengan kompaun lembut. Begitu juga dengan sistem brek, ia menerima komponen standard sistem brek seramik komposit berprestasi tinggi.

Mercedes-AMG GT Black Series kini kereta produksi paling pantas di litar Nürburgring – 6 minit 43.616 saat!

Kereta yang digunakan untuk catatan rekod ini juga hadir dengan Track Package yang juga dibekalkan secara standard untuk Mercedes-AMG GT Black Series – terdiri dari roll cage serta tali pinggang keledar empat poin.

“Dengan kelajuan hampir 270 km/j di seksyen Kesselchen dan lebih 300 km/j di laluan lurus panjang Döttinger Höhe, AMG GT Black Series ini sememangnya lebih pantas dari kereta lumba GT3 saya. Akhirnya dapat memandu di Nordschleife dalam masa 6:48.047 menggunakan kereta produksi dengan keadaan litar seperti ini adalah sangat hebat,” kata Maro Engel setelah berjaya membuat rekod berkenaan.

“Seperti kereta lumba GT3 saya, AMG GT Black Series menawarkan banyak cara untuk larasan semula, kesemua ini membolehkan saya membuat talaan yang khas untuk saya,” tambahnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required