Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

Kali terakhir Mercedes-AMG memperkenalkan model yang menggunakan lencana Black Series adalah pada tahun 2012, melalui SLS AMG dan kini ia dibawakan kembali pada model GT Black Series. Tempoh yang lama itu digunakan untuk memastikan pakej pada model ini benar-benar berbaloi sepadan dengan namanya.

Segalanya berkenaan kereta ini terarah kepada prestasi, bermula dengan enjin V8 twin turbo 4.0 liter di bawah bonetnya. Enjin ini tidak sama dengan enjin M178 varian lain model GT yang menggunakan cross-plane crankshaft, sebaliknya dipertingkat dengan flat-plane crankshaft.

Hasilnya, enjin tersebut menjadi lebih responsif, sambil memberi kelancaran serta tork yang tinggi pada kadar kitaran enjin yang rendah. Urutan pembakaran baru (1-8-2-7-4-5-3-6) pula memperbaiki kitaran gas dan keluar melalui sistem ekzos baru yang dibuat daripada stainless steel.

Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

Sistem kitaran minyak dry sump masih digunakan pada model Black Series ini, tetapi jurutera AMG telah mengubah laluan udara ekzos ke bahagian tengah enjin V tersebut. Perubahan lain adalah termasuk camshaft dan manifold ekzos baru, intercooler lebih besar, serta roda compressor pengecas turbo lebih besar yang boleh menggerakkan 1,100 kg udara dalam masa satu jam berbanding 900 kg sejam pada model GT R.

Enjin yang telah diubah banyak ini sekarang dipanggil oleh Mercedes-AMG sebagai M178 LS2. Ia mampu menghasilkan kuasa 730 PS (720 hp) antara 6,700 hingga 6,900 rpm dan tork 800 Nm dari 2,000 hingga 6,000 rpm, sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat, 0-200 km/j di bawah sembilan saat dan laju maksimum 325 km/j.

Demi memberikan anda gambaran bagaimana besarnya peningkatan pada enjin ini, model GT paling berkuasa sebelum ini, iaitu GT R dan GT R Pro hanya mampu menghasilkan 585 PS (577 hp) dan 700 Nm, dengan prestasi 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan laju maksimum 318 km/j.

Transmisi klac berkembar AMG Speedshift 7G-DCT tujuh kelajuan yang dipadankan bersama enjin baru ini juga dipertingkat dan menggunakan sistem penyejukan lebih baik untuk bertahan dengan jumlah tork yang lebih tinggi. Tiub tork yang sebelum ini menggunakan aluminium diganti dengan gentian karbon (40% lebih ringan dengan berat cuma 13.9 kg) manakala driveshaft di dalamnya juga dibuat daripada gentian karbon.

Pada bahagian casis, wishbone, steering knuckle dan pemegang hab di depan dan belakang sekarang semuanya dibuat daripada aluminium forged demi mengurangkan berat keseluruhannya. Suspensi boleh laras sama seperti GT R digunakan, tetapi dipasang dengan penyerap adaptif AMG Ride Control yang boleh berubah bergantung kepada mod pemanduan AMG Dynamic Select yang dipilih. Camber dan anti-roll bar juga boleh dilaras.

Sistem kawalan cengkaman AMG Traction Control disediakan pada kereta ini, dengan terdapat sembilan tahap yang boleh dipilih tetapan Level 9 membenarkan gelinciran maksimum sekiranya pemandu mahu drift. Rim forged 10 cabang serta sistem brek seramik, angkup hitam dan pad serta cakera brek sports diberikan secara standard.

Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

Untuk ciri aerodinamik, pasukan pereka GT Black Series melihat kepada kereta lumba AMG GT3 sebagai inspirasi, dan terhasillah gril yang lebih besar serta bonet gentian karbon dengan beberapa lubang udara di atasnya. Bahagian bawah bampar juga dipasang dengan splitter yang boleh dilaras secara manual dengan pilihan Street atau Race serta diffuser.

Pelbagai lagi bahagian luar kenderaan ini diubah suai untuk menguruskan peredaran udara serta meningkatkan ciri aerodinamiknya, manakala bahagian bawah kenderaan pula hampir keseluruhannya ditutup dengan panel khas. Untuk mengurangkan lagi beratnya, cermin yang lebih nipis digunakan, bersama barangan gentian karbon seperti sayap hadapan, bumbung, tailgate serta aerofoil belakang (menyumbang kepada daya tolak ke bawah sehingga 400 kg pada 250 km/j.

Kelengkapan lain yang diberi adalah tempat duduk AMG Performance, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin 10.25 inci untuk infotainmen, roda stereng AMG Performance, pilihan tambahan AMG Track Package yang memberikan besi pelindung titanium, tali pinggang four-point serta pemadam api, balutan kulit Nappa dan Dinamica, serta penarik pintu jenis tali di dalam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required