Mercedes-AMG GT R dan GT C facelift 2019 dilancar di Malaysia – harga bermula RM1.56 juta-RM1.7 juta

Mercedes-AMG GT R dan GT C facelift 2019 dilancar di Malaysia – harga bermula RM1.56 juta-RM1.7 juta

Macam biasa, model-model berprestasi tinggi Mercedes-AMG tidak akan menunggu lama untuk sampai ke Malaysia setelah diperkenalkan pada peringkat global. Begitu juga barisan kereta sport flagship Mercedes-AMG GT yang dikemaskini pada November tahun lalu yang muncul di Los Angeles buat pertama kali, ia kini sudah pun di bawa oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM), dilancarkan secara rasmi di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Dua model dilancarkan sekali pada hari ini iaitu model GT C dan juga versi paling berkuasa GT R. Secara asasnya, kemaskini terbaharu ini hanya melibat sedikit perubahan pada rupa, dan penambahan berberapa fungsi baharu pada bahagian dalaman.

Kesemua versi baharu AMG GT ini diberikan lampu LED baharu dengan reflektor tiga kelongsong yang direka bersepadu dengan lampu nyalaan siang juga dengan grafik baharu, yang mengapit gril Panamerica. Lampu belakang pula nampak lebih garang dengan bahagian dalam yang berwarna gelap.

Mercedes-AMG GT R dan GT C facelift 2019 dilancar di Malaysia – harga bermula RM1.56 juta-RM1.7 juta

Selain daripada itu, bahagian belakang GT C ini turut mendapat kemasan hitam pada diffuser, dan susun atur muncung ekzos yang baru – dihasilkan dengan bentuk dua trapezoid, berbanding GT R yang masih mengekalkan muncung di tengah bersama dua lagi yang kecil pada diffuser.

Pada bahagian kokpit pula, pemandu akan menerima panel instrumen 12.3 inci yang diambil daripada GT 4-Door Coupe dan skrin infotainmen 10.25 inci baru sama seperti C-Class baru. Untuk interaksi yang lebih baik dengan skrin ini, ia kini dibekalkan dengan roda stereng prestasi AMG yang baru, diambil daripada C 63, yang dilengkapi Touch Control.

Untuk pasaran Malaysia, GT R didatangkan terus dengan Track Package (ciri standard untuk model GT R Pro), terdiri dari roll cage, tempat duduk bucket AMG lengkap dengan tali pinggang lumba empat-point dan pemadam api dalam kenderaan. Selain itu, ia juga menerima kemasan trim gentian karbon dan pendakap pada bahagian but. Untuk brek pula, Track Package hadir dengan sistem brek seramik berprestasi tinggi dengan angkup yang diwarnakan hitam.

Mercedes-AMG GT R masih dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin M178 V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 585 PS dan 700 Nm tork. Mercedes-AMG GT C juga turut menerima enjin M178 yang sama tetapi ia ditala bagi menghasilkan kuasa ‘hanya’ 557 PS dan tork maksmia 680 Nm tork. Kedua-dua model ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT tujuh kelajuan klac berkembar, memacu hanya roda belakang.

Ini membolehkan Mercedes-AMG GT R memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, manakala GT C pula kurang 0.1 saat dalam pecutan yang sama. GT R mempunyai kelajuan maksima 318 km/j, sementara GT C pula sedikit kurang dengan 317 km/j.

Untuk mereka yang kerap ke litar, anda akan menghargai pengumpul data AMG Track Pace yang sekarang didatangkan standard untuk sistem infotainmen COMAND Online pada semua model GT. Dengan kelengkapan ini, anda boleh menganalisa prstasi di litar kerana ia dapat merekod lebih 80 set data spesifik kenderaan dalam masa 10 kali bagi setiap saat dan mencatat masa pusingan.

Program AMG Dynamic Select pada semua model GT masih lagi sama iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport Plus, Race dan Individual, tetapi ia ditambah dengan satu lagi program dipanggil AMG Dynamics. Dengannya, AMG memberitahu ia dapat menguruskan Electronic Stability Programme lebih baik untuk setiap mod yang dipilih (Basic, Advanced, Pro atau Master).

Untuk semua ini, Mercedes-AMG GT R 2019 dijual di Malaysia pada harga atas jalan tanpa insuran RM 1,712,888, manakala Mercedes-AMG GT C pula dijual sedikit ‘murah’ pada harga RM 1,558,888.

GALERI: Mercedes-AMG GT R 2019

GALERI: Mercedes-AMG GT C 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required