Lamborghini Aventador SVJ didedah – hanya 900 unit

Lamborghini Aventador SVJ didedah – hanya 900 unit

Lamborghini telah menunjukkan sebuah model baru, Aventador SVJ (Superveloce Jota) yang hanya akan dikeluarkan sebanyak 900 unit di seluruh dunia. Sebelum muncul secara rasmi kali pertama juga, kereta ini telah menjadi bahan bualan kerana mencatat rekod baru bagi kereta produksi di Litar Nürburgring dengan masa enam minit 44.97 saat.

Jika dibandingkan dengan Aventador S, SVJ mempunyai banyak pembaharuan pada bahagian luar, dan ia lebih bertumpu kepada prestasi – peningkatan yang jelas pada daya downforce. Ini termasuk bampar baru dengan sirip tepi dan salur udara (mengurangkan rintangan dan memperbaiki sistem penyejuk). Kemudiannya juga, terdapat splitter hadapan dan lubang angin keluar berbentuk tiga dimensi pada hud.

Ciri aerodinamik pada bahagian bawah kenderaan turut diperelok, dengan penghasil vortex bekerja sekali dengan diffuser hadapan, dan bahagian belakang menggunakan bampar berbentuk Omega dengan diffuser yang ekstrem. Bahagian baru lain yang terdapat di belakang adalah sayap gentian karbon dengan air foil dan winglet tepi, serta bonet enjin belakang baru yang dibuat daripada gentian karbon dan klip supaya mudah dibuka.

Lamborghini SVJ juga mendapat ekzos baru yang terletak tinggi dan ia telah membantu mengurangkan sedikit berat pada kenderaan ini. Selain itu, terdapat juga sistem Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) konfigurasi terbaru 2.0 pada kenderaan ini.

Sistem ALA pertama kali diguna pada Huracán Performante dan ia memberikan beban aerodinamik aktif yang boleh diubah untuk mencapai daya downforce yang tinggi atau rintangan yang kurang, bergantung kepada keadaan. Terdapat bahagian yang boleh dibuka dan ditutup menggunakan motor elektrik sepantas 500 milisaat di bahagian splitter hadapan dan bonet enjin. Untuk SVJ, sistem ini telah dipertingkat dengan salur udara serta laluan aero baru dan dikalibrasi semula.

Terdapat juga aero vectoring pada bahagian belakang untuk mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, hasil daripada laluan udara berbeza untuk bahagian kiri dan kanan sayapnya. Bergantung kepada arah selekoh yang diambil, sistem ALA ini boleh mengawal laluan udara di setiap bahagian ini untuk memberikan daya downforce dan meningkatkan cengkaman pada tayar yang memerlukan serta memperbaiki stabilitinya.

Lamborghini Aventador SVJ didedah – hanya 900 unit

Enjin V12 6.5 liter pada kenderaan ini telah diberikan sedikit modifikasi, dan ini termasuk intake valve titanium baru, intake runner dengan panjang dan bentuk baru, serta intake cylinder head duct yang diubah suai untuk memberikan aliran udara lebih cekap. Kotak gear Independent Shifting Road (ISR) tujuh kelakuan padanya juga telah dikalibrasi semula.

Hasil daripada peningkatan ini, enjin tersebut dapat menghasilkan 30 hp dan 30 Nm lebih banyak berbanding Aventador S, dan kuasa keseluruhannya menjadi 770 hp pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Kuasa terus disampaikan kepada semua tayar, dan kenderaan seberat 1,525 kg ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum lebih 350 km/j.

Suspensi LMS pada SVJ ini juga telah dikalibrasi semula untuk meningkatkan kawalan roda dan badan, dengan fokus kepada prestasi atas litar dan daya penyerapan 15% lebih tinggi berbanding SV. Ia juga mendapat anti-roll bar yang 50% lebih tegar berbanding Aventador SV.

Bahagian lain yang telah dirujuk semula pada SVJ ini adalah ESC, ABS, rear-wheel steering (LRS) dan sistem pacuan empat rodanya, yang dilaras supaya menyampaikan 3% lebih kuasa kepada gandar belakang berbanding model SV. Stereng kuasanya juga telah dilaras semula.

Aventador SVJ didatangkan standard dengan rim ‘Nireo’ serba ringan yang direka khas untuknya, dan dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa – juga mempunyai corak bunga dan dibangunkan khas untuknya. Selain lebih mencengkam, tayar ini juga dapat memberikan ketegaran menegak yang lebih baik untuk berhadapan dengan daya downforce yang tinggi.

Selain daripada itu, pembeli juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan rim dengan rekaan ‘Leirion’ serta tayar Pirelli P Zero Trofeo R serta sistem telemetri untuk merekodkan masa dan prestasi dalam litar. Lamborghini juga ada memperkenalkan SVJ 63, yang merupakan keluaran istimewa yang memberikan penghormatan kepada tahun syarikat ditubuhkan dan dipenuhi dengan pelbagai barang gentian karbon.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required