Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

Ini adalah Lamborghini Hurácan Performante – supercar junior versi lebih ganas yang tidak lagi menggunakan nama Superleggera seperti pada Gallardo sebelum ini kerana ia tidak sekadar bergantung pada badan yang ringan.

Walaupun begitu, ia masih 40 kg lebih ringan berbanding Hurácan standard, pada 1,382 kg, hasil penggunaan meluas Lamborghini Forged Composite – iaitu campuran khas gentian karbon yang lebih ringan dan boleh dibentuk secara kompleks tanpa mengabaikan kekuatannya. Antara bahagian yang menggunakan bahan ini adalah spoiler hadapan dan belakang, penutup enjin, bampar belakang dan diffuser.

Namun, perkara yang lebih menarik pada Hurácan Performante adalah ciri aerodinamiknya, digelar sebagai Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA). Keseluruhan sistem ini digerakkan secara elektronik dan 80% lebih ringan berbanding tetapan hidraulik – dua flap diletakkan pada spoiler hadapan, manakala dua lagi pada penutup enjin untuk menyampaikan udara kepada sayap belakang.

Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

Sistem yang dinamakan sebagai Lamborghini Piattaforma Inerziale (LPI) yang mengawal sistem elektronik pada kenderaan ini boleh membuka dan menutup flap ini dalam masa hanya 500 milisaat. Apabila ditutup, spoiler hadapan dan sayap belakang kenderaan ini mempunyai daya tolakan ke bawah yang lebih tinggi – sehingga 75% lebih berbanding Hurácan standard.

Apabila di jalan lurus, dan flap ini dibuka, tekanan pada spoiler hadapan berkurangan dan udara disampaikan kepada bahagian bawah kenderaan. Pada bahagian belakang pula, udara disampaikan kepada bahagian bawah sayap tegar tersebut. Ini mengurangkan seretan aerodinamik dan membolehkan kenderaan memecut lebih laju.

Memandangkan sayap belakang direka supaya dapat membantu ketika mengambil selekoh kelajuan tinggi, sistem ini boleh dibuka pada satu bahagian sahaja (kiri atau kanan), bergantung kepada arah selekoh tersebut, seterusnya mengurangkan sudut stereng dan meningkatkan kestabilan dinamik kenderaan.

Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

Turut dinaik taraf adalah bahagian enjin, di mana unit 5.2 liter N/A V10 yang digunakan kini boleh menghasilkan 640 hp pada 8,000 rpm dan 600 Nm pada 6,500 rpm. Jumlah ini adalah 30 hp dan 40 Nm lebih berbanding sebelum ini. Peningkatan kuasa ini adalah hasil daripada langkah mengoptimakan dinamik pelincir, saluran udara lebih cekap dan injap titanium untuk angkatan injap lebih tinggi.

Bahagian ekzos juga lebih ringan dan kurang back pressure; slaur keluarnya lebih tinggi dan diletakkan pada bahagian tengah. Turut dioptimakan adalah transmisi klac berkembar tujuh kelajuan padanya. Semua ini membolehkan Hurácan Performante memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat (sebelum ini 3.2 saat), dan boleh mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa 8.9 saat (1 saat lebih laju).

Di sebalik badan ini, suspensi Hurácan Performante juga adalah 10% lebih keras berbanding Hurácan standard, manakala ketegaran olengan juga meningkat 15%. Turut dipertingkat adalah ketegaran bushing radial dan axial arm untuk memperbaiki kawalan sampingan.

Lamborghini Huracan Performante – kemampuan dipertingkat, 640 hp, 600 Nm, sistem aerodinamik aktif

Hurácan Performante juga menandakan kembalinya sistem stereng elektromekanikal dan sistem Lamborghini Dynamic Steering (LDS) sebagai pilihan untuk meningkatkan respon serta maklum balas yang boleh didapati dalam mod sistem Anima Strada, Sport dan Corsa.

Secara standard, Hurácan Performante dilengkapi dengan rim 20 inci dengan pengunci satu skru tengah disediakan sebagai pilihan. Di belakang rim ini terdapat angkup brek enam piston dan cakera seramik di hadapan dan angkup empat piston di belakang. Jarak membrek dari 100 km/j adalah 31 meter.

Hasil daripada semua ini, Hurácan Performante berjaya mencatat rekod bagi kenderaan produksi di litar Nürburgring Nordschleife pada 6 minit 52.01 saat. Ini adalah lima saat lebih laju berbanding Porsche 918 Spyder dan hampir lapan saat lebih laju berbanding Lamborghini Aventador SV.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required