MG EP dilancarkan di Thai – wagon elektrik penuh dengan harga hanya RM133k, jarak gerak 380 km

MG EP dilancarkan di Thai – wagon elektrik penuh dengan harga hanya RM133k, jarak gerak 380 km

Jenama British yang kini dimiliki SAIC dari China iaitu MG baru sahaja melancarkan model elektrik sepenuhnya dengan harga mampu milik di Thailand, iaitu MG EP EV ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2020.

Model wagon segmen-C yang dijana oleh motor elektrik sepenuhnya ini dijual pada harga 988,000 baht (RM133,135). Sebagai perbandingan, model elektrik sepenuhnya Nissan Leaf dijual pada pasaran sama dengan harga sekali ganda 1.99 juta bath (RM298k), dan harga MG EP ini sebenarnya lebih kurang sama dengan model segmen-C petrol sepenuhnya seperti Honda Civic 1.8 varian asas yang dijual pada harga bermula 874,000 baht (RM118k).

Kereta ini dijual dalam versi CBU, diimport sepenuhnya dari China. Buat masa sekarang, ia turut ditawarkan dengan pengecaj wallbox percuma berharga 45,000 baht (RM6,062), dan juga pemasangan percuma bernilai 20,000 baht (RM2,694) serta insuran percuma selama setahun.

Kereta elektrik ini juga diberikan pelindungan waranti selama empat tahun atau 120,000 km, manakala baterinya pula dilindungi lebih lama iaitu selama lapan tahun atau 180,000 km. Modul pada bateri berkenaan juga direka agar boleh ditukar secara berasingan sekiranya perlu.

MG EP dilancarkan di Thai – wagon elektrik penuh dengan harga hanya RM133k, jarak gerak 380 km

Bukan sahaja harganya sahaja yang hampir serupa dengan kereta biasa, MG EP EV ini juga menampilkan rupa seakan kereta wagon petrol biasa tanpa rekaan pelik-pelik seperti kebanyakkan kereta elektrik lain. Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,544 mm panjang dengan jarak roda 2,665 mm – saiz dalam julat sama seperti model segmen-C biasa.

Dengan bahagian belakang direka sebagai wagon sebenar, ia memberikan ruang kargo sebesar 464 liter, dan bertambah sehingga 1,456 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

MG EP EV ini dijana oleh motor elektrik berkuasa 163 hp dan tork maksima 260 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear 1 kelajuan bagi menghantar kuasa ke roda hadapan. Ini membolehkan wagon elektrik tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, dan mencapai kelajuan maksima 185 km/j.

Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri lithium-ion berkuasa 50.3 kW yang diletakkan pada bahagian lantai. Ia membolehkan kereta ini bergerak sejauh 380 km (dalam kitaran NEDC) dengan satu caj penuh.

Bateri berkenaan boleh dicaj semula menerusi port pengecaj CCS yang terletak disebalik logo MG pada gril hadapan. Dengan menggunakan wallbox (7 kW AC), bateri tersebut mengambil masa selama tujuh jam 15 minit untuk dipenuhkan dari 0-100%. Manakala dengan pengecaj pantas 50 kW DC, sejumlah 80% caj (dari 0%) dapat diisi dalam masa hanya 40 minit.

Menurut MG Thailand, kos mengecaj di rumah akan memakan kos sekitar 200 baht (RM26.90) untuk satu caj penuh, manakala kos selenggara kereta ini untuk tempoh lima tahun/100,000 km pula tidak melebihi 8,000 baht (RM1,079).

Di China, EP EV ini masih dijual dengan lencana SAIC, dikenali sebagai Roewe Ei5, dan ia sebenarnya sudah pun dilancarkan di sana sejak 2017. Selain dari menukar lencana, MG EP ini juga menerima rupa lebih “seakan Mazda” berbanding rupa “seakan VW” pada Roewe. Ia juga ada dijual pada pasaran asal jenama MG berkenaan iaitu di UK dengan nama MG5 EV.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required