Baru saja dipertontonkan ketika KLIMS 2018 yang lalu, negara jiran kita, Thailand nampaknya terlebih dahulu menerima pengenalan Nissan Leaf generasi kedua. Dipertontonkan di sana ketika Ekspo Permotoran Antarabangsa Thailand 2018, kereta elektrik itu dijual pada harga 1.99 juta bath (RM252,298).

Serahannya pula akan bermula pada Mac 2019. “Bagi pasaran Asia dan Pasifik, kami merancang untuk memperkenalkan model ini di tujuh negara termasuk Thailand, Malaysia, Singapura dan Hong Kong. Semua pasaran ini akan menerima kehadiran Leaf selepas Thailand,” jelas Naib Presiden Kanan Nissan, Yutaka Sanada.

Untuk pasaran tempatan di sini, Leaf difahamkan bakal dilancar pada pertengahan tahun depan. Tanpa pemasangan tempatan, antara isu yang menjadi tanda tanya ialah harga model terbabit ketika diperkenalkan di Malaysia nanti. Mungkin juga penilaian semula Dasar Automotif Nasional yang sedang dilakukan ketika ini akan memberi kelebihan kepada model EV terbabit.

Leaf baru ini berukuran dimensi 4,480 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,540 mm tinggi dan mampu menjana kuasa yang lebih banyak berbanding model generasi pertama – motor elektrik EM57 baru kini menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork (148 hp dan 320 Nm).

Bateri lithium-ion 40 kWh yang digunakan meningkatkan jarak perjalanan sehingga 400 km (atau 378 km bagi kitaran NEDC) berbanding 195 km (atau 250 km) oleh model awal sebelum ini. Menurut Nissan, tempoh mengecas model ini memerlukan lapan jam untuk satu cas penuh dengan aliran elektrik 6 kW.

Turut tersedia ialah kit pengecas pantas, yang mampu membekalkan sehingga 80% tenaga hanya dalam masa 40 minit melalui soket pengecas CHAdeMO. Kadar cas AC maksimum ialah 6.6 kW, atau 50 kW bagi pengecas DC.

Ia turut dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomous ProPilot, yang boleh mengawal jarak dari kereta hadapan berdasarkan kelajuan yang ditetapkan pemandu (antara 30 km/j hingga 100 km/j). Stereng pula akan mengekalkannya berada di tengah lorong. Ia juga boleh memberhentikan kereta sepenuhnya dan kembali bergerak selepas itu, sama seperti yang boleh dilakukan Honda Sensing.

Selain parkir ProPILOT, turut tersedia ialah e-Pedal, fungsi mudah untuk memulakan, memecut, memperlahankan, memberhentikan serta mengekalkan kedudukan kereta menggunakan pedal minyak sahaja.