Karamjit Singh terpaksa jual Proton Waja miliknya, bagi beli Proton Saga 1.3 untuk dibuat e-Hailing

Karamjit Singh terpaksa jual Proton Waja miliknya, bagi beli Proton Saga 1.3 untuk dibuat e-Hailing

Pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan kita, malah penyakit ini juga memberikan pelbagai impak kepada semua orang tidak kira pangkat mahupun bangsa, terutamanya dari segi ekonomi – dan Juara Kejohanan Rali Dunia kategori Produksi (Production WRC) 2002, The Flyng Sikh Karamjit Singh tidak terkecuali dari terhimpit.

Dalam kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang masih belum berakhir, banyak aktiviti yang tidak dapat dilakukan, antaranya aktiviti sukan permotoran. Ini bukan sahaja melibatkan perlumbaan, malah banyak acara seperti sesi uji pandu media dan juga pelbagai pertunjukan terpaksa dibatalkan, nyata memberi impak kepada mereka yang mencari rezeki dalam bidang ini seperti Karamjit Singh sendiri.

Minggu lalu, penulis terkejut apabila Karamjit Singh membuat hantaran pada laman Facebook rasminya bahawa beliau mahu menjual Proton Waja 1.6 manual miliknya dengan sebab kereta tersebut tidak boleh digunakan untuk membuat perkhidmatan e-Hailing kerana terlalu lama, dan beliau mahu membeli Proton Saga 1.3 manual untuk tujuan tersebut!

SOLD! Thank you my friends for all the shares and support! Love you all!

Hi all, I am selling my personal daily drive…

Posted by Karamjit Singh on Thursday, 3 December 2020

Sebagai seorang peminatnya, penulis sendiri berasa perit kerana hero yang pernah berbakti pada negara di peringkat dunia, terpaksa membuat keputusan seperti ini untuk mengharungi masa-masa sukar seperti sekarang. Mujur kereta tersebut dapat dijual dengan cepat pada hari yang diiklankan itu juga.

Dalam laporan Harian Metro hari ini, Karam meluahkan bahawa beliau masih sayangkan Proton Waja berkenaan. Dia juga menceritakan bahawa banyak wang ringgit termasuk kereta, rumah, wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semuanya habis digunakan sebagai modal untuk berlumba rali di peringkat Asia Pasifik satu ketika dulu.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa Karamjit Singh pernah dijanjikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapat pencen hasil kejayaan di arena rali dunia, namun ia hanya janji mulut dan hingga kini tidak pernah menerimanya.

“Saya pernah jumpa KBS sekitar 2005 atau 2006. Mereka kata saya layak menerima pencen kerana kejayaan bergelar juara dunia sama seperti kejayaan meraih emas. Ketika itu mereka kata saya boleh dapat RM5,000.

“Itu hanya janji mulut dan hingga sekarang saya tidak dapat pencen berkenaan. Ia amat diperlukan untuk hari tua saya. Tapi ketika ini saya masih mahu berlumba sekurang-kurangnya untuk dua tiga tahun lagi.

“Berlumba hingga ke negara Asia Pasifik lain seperti New Zealand, Indonesia dan merata lagi sebab saya masih mampu bergelar nombor satu Asia. Kecergasan saya juga pada tahap terbaik dan saya rasa ramai anak muda tidak boleh tewaskan saya.

“Saya ke gimnasium empat kali seminggu selain melakukan aktiviti memanjat bukit dan gunung untuk kekal cergas. Daripada segi skil saya masih nombor satu.

“Ramai peminat mahu saya berlumba semula. Masalahnya, sekarang sukar untuk mendapatkan penajaan kerana kos berlumba dalam dunia permotoran tidak murah walaupun tidak semahal Formula Satu (F1),” kata Karamjit Singh.

Untuk pengetahuan anda, selepas pasukan Petronas EON Racing Team dibubarkan, Karamjit Singh terus berlumba dengan duitnya sendiri. Pada tahun 2011, beliau kembali ke kancah Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk memburu gelaran kategori Group N 2WD dengan memandu Proton Satria Neo pasukan Proton R3.

Namun ia bukan projek yang dibiayai oleh Proton, sebaliknya Karamjit sendiri perlu membayar pasukan lumba Proton untuk mengejar gelaran berkenaan, dan beliau telah menghabiskan kira-kira RM600,000. Usaha tersebut berbaloi kerana beliau berjaya memperoleh gelaran juara tersebut pada 2011, dan Proton mengambil keputusan untuk meneruskan perlumbaan berkenaan untuk musim 2012, dengan membayar Karamjit sebagai pemandu rasmi – Karam dan Proton R3 sekali lagi mempertahankan kejuaraan berkenaan untuk musim 2012.

Sebelum ini kami telah pun menyiarkan artikel bagaimana Karamjit Singh berjaya memperolehi gelaran juara dunia hanya dalam percubaan pertamanya pada tahun 2002, diceritakan sendiri oleh pengasas Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Chris Mellors dan anda boleh membacanya pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required