Waze kini telah mengeluarkan kemaskini terbaru aplikasi itu untuk Apple iOS, kini dengan sokongan terhadap paparan terpisah CarPlay untuk mod papan pemuka. Ciri ini terdahulu ditawarkan dalam versi beta Waze, dan kini ditawarkan secara langsung sebagai versi 4.69 yang lebih stabil.
Mod papan pemuka ini membolehkan pengguna memaparkan peta tunjuk arah mereka bersebelahan dengan kawalan muzik atau aplikasi lain dalam satu paparan keseluruhan yang sama. Sebelum ini, hanya Apple Maps boleh digunakan dalam mod seperti ini, tetapi selepas sokongan pihak ke-tiga diperkenalkan dengan iOS 13.4, lain-lain aplikasi seperti Google Maps, dan kini Waze, turut boleh memanfaatkan ciri yang sama.
Waze melalui CarPlay ini memaparkan maklumat seperti peta tunjuk arah (dengan bantuan lorong), jangkaan masa tiba ke destinasi, kelajuan semaas dan had laju. Lain-lain kebolehan ialah pemakluman kawasan sesak dan perangkap had laju, sementara paparan berasingan sebelah lagi menyediakan tunjuk arah dalam bentuk teks.
Amaran visual dan kiriman laporan bagaimanapun tidak disediakan jika menggunakan Waze dalam mod papan pemuka ini, mungkin disebabkan oleh kekangan ruang paparan pada skrin. Jadi, pengguna perlu menggunakan aplikasi itu sepenuhnya untuk tujuan itu, yang boleh dilakukan dengan menyentuh paparan mana-mana dua kad Waze yang ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.