Walaupun kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa kilang-kilang kenderaan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 13 hingga 26 Januari 2021 tidak dibenarkan untuk beroperasi, namun untuk sektor peruncitan automotif seperi bilik pameran, pusat servis dan bengkel penyelenggaraan biasa masih boleh meneruskan perniagaan mereka.
Kami sebelum ini diberitahu bahawa operasi jualan kenderaan dibenarkan ketika tempoh PKP ini, menunggu kebenaran dari MITI. Manakala untuk pusat servis, ia sudah pun dinyatakan boleh beroperasi dalam senarai yang dibenarkan oleh MITI pada 10 Januari lalu.
Perkara ini turut disahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Januari menyatakan bahawa bilik pameran, pusat servis dan juga bengkel penyelenggaraan kenderaan dibenarkan beroperasi ketika tempoh PKP ini, namun pemilik perniagaan perlu memohon kebenaran untuk beroperasi dari MITI terlebih dahulu.
Berberapa pengeluar automotif telah mengumumkan bahawa fasiliti-fasiliti perniagaan mereka masih beroperasi sepanjang PKP 2.0 ini. Toyota menyatakan semua outlet (jualan, servis serta badan & cat) di lokasi-lokasi PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) akan terus beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MITI.
Manakala bagi Proton, satu surat yang ditujukan untuk semua outlet Proton Edar menyebut bahawa bilik pameran dan pusat servis mereka telah diberikan kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP, juga dengan SOP ketat yang dikeluarkan oleh MITI.
Walaupun fasiliti-fasiliti ini dibenarkan beroperasi, anda sebagai pengguna harus sentiasa ingat pergerakan setiap individu hanya dihadkan dalam radius 10 km dari kediaman masing-masing, dan anda perlu mengetahui apa SOP yang diperlukan di tempat-tempat berkenaan. Jika anda perlukan pandu uji, pergerakan dan berberapa perkara lain juga dihadkan ketika ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.