JPJ ingatkan etika berpakaian ketika berurusan – jangan pakai seluar dan skirt pendek, selipar dsb

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai yang berurusan di premis-premisnya agar sentiasa mengikut etika kod pakaian yang telah ditetapkan. Dalam satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya semalam, JPJ turut menyenaraikan serta memberikan illustrasi panduan berkenaan kod etika pakaian yang perlu dipatuhi oleh pelanggan.

“Pelanggan hendaklah berpakaian sopan dan bersesuaian, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima; kesopanan dan kesusilaan,” tulis JPJ dalam poster hantaran berkenaan.

Lima contoh pakaian yang tidak sesuai turut ditunjukkan dalam poster berkenaan, termasuk seluar/jeans koyak, seluar pendek untuk lelaki, skirt atau seluar pendek diparas atas lutut untuk wanita, selipar dan juga baju tanpa lengan.

JPJ ingatkan etika berpakaian ketika berurusan – jangan pakai seluar dan skirt pendek, selipar dsb

Pejabat-pejabat JPJ masih beroperasi di kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibuka bermula 9 pagi hingga 4 petang (rehat tengah hari 1 hingga 2 petang), namun ia terhad hanya untuk urusan memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan komersial serta lesen memandu komersil dan vokasional (GDL dan PSV), termasuk untuk teksi dan e-hailing.

Anda turut boleh ke JPJ untuk membuat sijil pemilikan kenderaan (VOC) dan juga untuk mendapatkan ID untuk mengakses sistem MySikap. Semua servis termasuk termasuk melibatkan orang perseorangan masih boleh dibuat menggunakan platform atas talian berkenaan.

Untuk kawasan yang masih berada dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), tiada perubahan untuk operasi dan waktu berkerja.