Tempoh jaminan Ford Ranger di M’sia kini lima-tahun — pelan lanjutan disediakan untuk pemilik sedia ada

Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan tempoh jaminan baru selama lima-tahun/160,000 km bagi barisan model Ranger di Malaysia. Ini sah untuk semua model Ranger tahun 2021 ke atas dan merupakan peningkatan daripada tempoh tiga-tahun/100,000 km yang ditawarkan sebelum ini.

“Kami faham, bagi pemilik Ranger, kenderaan mereka bukan setakat pengangkutan. Ia adalah cerminan kepada gaya hidup; untuk bekerja dan juga urusan harian lainnya termasuk untuk kegunaan keluarga. Dengan tempoh jaminan lima-tahun yang baru ini, kami mensasarkan untuk menambah lagi nilai kepada pelanggan Ranger,” ujar Ketua Jualan SDAC, Turse Zuhair.

Pemilik Ranger sedia ada yang diberikan tempoh jaminan tiga-tahun/100,000 km boleh mempertingkatkan perlindungan tersebut dan menambah dua-tahun/60,000 km lagi dengan cara membeli satu daripada dua pelan jaminan yang ditawarkan.

Pilihan pertama yang lebih komprehensif ialah pelan PremiumCARE, yang menyediakan perlindungan ke atas 1,000 komponen pada harga RM5,000, termasuk manfaat kenderaan sewa sehingga 10-hari. Pelan berikutnya ialah PowertrainCARE pada harga RM3,500, tetapi hanya memberi perlindungan ke atas enjin, transmisi dan sistem pacuan sahaja.

Semua ini merangkumi baik pulih yang dilakukan di pusat servis sah oleh juruteknik bertauliah dan menggunakan alat ganti asli Ford. Jika ada yang berhasrat untuk menjual kenderaan mereka dalam tempoh jaminan itu, pelan jaminan lanjutan boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya.

Merujuk kepada laman web SDAC, kedua-dua pelan tersebut turut disediakan untuk SUV Everest, dengan pelan PremiumCARE pada kos RM5,800 dan pelan PowertrainCARE pada RM3,800.

Tags: