Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

Selepas menjadi buah mulut ramai pemerhati automotif global, Mercedes-Benz kini dengan rasminya memperkenalkan buat julung kali model C-Class W206 terbaru secara siaran langsung secara maya. Bagi model generasi semasa yang diperkenalkan pada tahun 2014, sebanyak 2.5 juta unit versi Saloon dan Estate-nya telah dijual. Ia merupakan model dan segmen paling laris jenama Jerman ini — 10.5 juta unit sejak model pertamanya diperkenalkan pada 1982.

Apa yang lebih menarik ialah C-Class terbaru ini menampilkan teknologi elektrifikasi melalui sistem plug-in hybrid dan mild-hybrid 48-volt EQ Boost serta penghidup-generator bersepadu. Dengan bateri berkecekapan tinggi, model ini mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sehingga 100 km (kitaran WLTP) bagi sistem plug-in hybrid. Model salon dan estate diperkenalkan serentak.

Berbanding model generasi W205 semasa, versi generasi terbaru ini lebih besar; dengan panjang 4,751 mm dan lebar 1,820 mm, jarak antara rodanya ditambah sebanyak 25 mm menjadi 2,865 mm. Ini juga secara langsung menjadikan ruang kabin bagi penumpang depan dan belakang lebih luas. Ini menjadikan C-Class W206 tampil dengan proposi lebih menarik — overhang depan pendek, jarak antara roda serta overhang belakang lebih panjang.

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

Dari sisi, lekuk permukaan yang ada memberikan kesan cahaya unik bagi kereta ini. Garis badan dikurangkan, dan bagi model estate pula garis bumbung yang progresif yang digabungkan dengan garis tingkap belakang yang berlengkung memberikan imej lebih sporty. Ini ditambah pula dengan lebar ketegapan serta penggunaan rim 17-inci hingga 19-inci dalam rekaan moden.

Gril radiator yang sinonim dengan jenama ini juga memberikan perwatakan tersendiri kepada wajah depan. Semua model datang dengan rekaan bintang di tengahnya, dengan perincian rekaan gril itu sendiri yang membezakan antara kesemuanya. Bagi Avantgarde Line, terdapat unsur hiasan tambahan diberikan. Imej khusus bagi AMG Line ialah diamond grille yang ada padanya, dengan bintang krom.

Rekaan belakang adalah sentuhan sinonim bagi saloon Mercedes-Benz. Rekaan lampu belakang memukau dengan penampilan siang dan malam yang tersendiri. Bagi model saloon, lampunya pertama kali menggunakan rekaan dua-bahagian bagi C-Class, dengan fungsi lampu dibahagikan andara sisi badan kereta dan juga di but. Tiga warna baru turut diperkenalkan — Spectral Blue, High-Tech Silver dan Opalite White.

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

Bagi ruang dalaman, papan pemukanya dibahagi kepada seksyen atas dan bawah. Ruangan ini mewarisi banyak imej, rekaan dan teknologi daripada model flagship, Mercedes-Benz S-Class dan menampilkan suasana canggih secara keselruhannya. Rekaan keseluruhan papan pemuka ini juga memberi keutamaan kepada pemandu, dengan kecondongan enam-darjah ke arah mereka.

Skrin LCD beresolusi tinggi tersedia untuk pemandu. Ia terapung, sekali gus menjadikan paparan maklumat untuk pemandu jauh berbeza daripada kokpit tradisional dengan paparan meter bulat biasa. Pelanggan boleh memimilih antara saiz 10.25-inci atau 12.3-inci.

Peralihan ke arah pendigitalan juga ketara pada paparan tengah; segala fungsi kenderaan boleh dikawal menerusi skrin sentuh berkualiti tinggi. Kedudukan menegaknya memberi kelebihan kepada sistem tunjuk arah. Skrin dengan saiz 9.5-inci adalah standard. Pilihan untuk versi lebih besar juga disediakan, iaitu 11.9-inci.

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

Selain itu, model ini juga datang dengan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi terkini yang menawarkan operasi lebih mudah dan ringkas. Ini menjadikan ruang dalaman kereta ini lebih pintar; paparan imej pada skrin lebih jelas, menjadikannya lebih mudah untuk diselia. Paparan pemandu dan paparn media pula memberikan kawalan lebih holistik.

Maklumat dipersembahkan dalam cara lebih berstruktur. Gaya paparan juga ada tiga (Discreet, Sporty, Classic) dan tiga mod (Navigation, Assistance, Service). Tidak ketinggalan ialah servis muzik dalam talian, yang operasinya bersepadu dengan sistem infotainment MBUX serta menampilkan ciri kemaskini over-the-air (OTA).

Bagi sistem janaan kuasa, ia hanya hadir dengan unit empat-silinder daripada keluarga enjin modular Mercedes-Benz FAME (Family of Modular Engines). Sebagai tambahan kepada pengecas turbo, kedua-dua enjin petrol dan diesel yang ditawarkan lengkapi dengan penghidup-generator bersepadu (ISG), bertindak memberikan bantuan pintar dalam kelajuan enjin rendah sebagai mild hybrid generasi kedua.

ISG ini menggunakan sistem elektrikal dalaman 48 volt yang memastikan fungsi seperti meluncur, meningkatkan janaan serta pemulihan tenaga dan memberikan penjimatan minyak terbaik. Enjin juga dapat dihidupkan dengan segera dan senyap, dengan fungsi Start/Stop hampir tidak dirasai dengan ketara oleh pemandu. Dalam keadaan melahu pula, interaksi pintar antara ISG dan enjin pembakaran dalaman memastikan suasana kekal selesa.

Varian petrol terdiri daripada C 180, C 200, C 200 4Matic, C 300 dan C 300 4Matic, sementara bagi varian diesel adalah C 220 d dan C 300 d. Model C 180, C 200 dan C 200 4Matic menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan janaan dari 168 hp hingga 201 hp. Bagi dua varian C 300 pula, ia menggunakan enjin M254 2.0 liter turbo, dengan janaan 255 hp dan 400 Nm. Semua varian C-Class digandingkan dengan transmisi 9G-Tronic automatik.

Seperti dinyatakan di awal tadi, penampilan sulung bagi C-Class dan berita penting di sini ialah varian plug-in hybrid. Walaupun belum diperincikan secara rasmi, spesifikasi awal C 300 e PHEV telah didedahkan — menggunakan enjin M254 2.0 liter, varian ini mempunyai output elektrik 127 hp (95 kW) dan 440 Nm. Dilengkapi dengan bateri 24.4 kWh 96 cell dengan konfigurasi penyejukan dalaman, PHEV ini menawarkan jarak elektrik sepenuhnya 100 km (kitaran WLTP); dua kali ganda angka generasi sebelum ini. Dengan kuasa elektrik penuh, kelajuan boleh mencecah 140 km/j.

Pengecas 11 kW standard (bergantung kepada pasaran) ditawarkan bagi pengecasan tiga-fasa menggunakan Wallbox yang disambung pada AC domestik, sementara pengecas DC 55 kW pilihan pula boleh mengecas dari kosong ke penuh dalam masa 30 minit. Bateri baru yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes itu juga lebih kompak, memberi kelebihan kepada ruang but.

Sedikit lagi tambahan tentang ruang; di dalam, ruang lutut bertambah 35 mm dengan 13 mm lebihan bagi ruang kepala di belakang; ruang siku juga naik 22 mm di depan dan 15 mm di belakang berbanding model W205. Kapasiti ruang kargo pula kekal sama dengan model lamanya, dengan 455 liter.

Lain-lain pembaharuan termasuk sistem pacuan semua roda yang dijadikan lebih ringan, termasuk menggunakan pacuan gandar depan baru. Fungsi stereng gandar belakang juga datang dengan nisbah stereng terus di gandar depan. Sistem ini menambah 2.5-darjah sudut stereng pada gandar belakang untuk mengurangkan sudut pusingan kereta ini sehingga 43 cm, kepada 10.64 meter.

Dengan kelajuan di bawah 60 km/j, roda belakang akan diarah bertentangan berbanding roda depan, dan sehingga 2.5-darjah bertentangan terhadap gandar depan ketika parkir. Ini memudahkan lagi kereta untuk dikilaskan arah sterengnya. Sementara dalam kelajuan melebihi 60 km/j pula, roda belakang diarah sehingga 2.5-darjah arah yang sama dengan roda depan. Ini akan memanjangkan lagi jarak antara roda dan menjadikannya lebih stabil dalam kelajuan tinggi.

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

Sistem suspensi dinamiknya pula menampilkan jenis four-link axle bari depan dan multi-link axle di belakang yang disambung pada subframe, membolehkannya memberi serapan tahap tinggi, begitu juga dengan keselesaan dan bunyi bising berkurangan dan dalam masa menjamin pengendalian dinamik. Penyerap hentaknya juga boleh laras serta dengan suspensi sport. Suspensi udara telah digugurkan seluruhnya, dan cuma akan ditawarkan pada bahagian belakang versi saloon atau estate model plug-in hybrid sahaja.

Aspek keselamatan juga lengkap pada C-Class terbaru ini, termasuk Active Distance Assist Distronic, yang kini telah ditingkatkan kelajuan operasinya atas jalan kepada sehingga 100 km/j berbanding 60 km/j sebelum ini. Active Steering Assist yang membantu pemandu kekal dalam lorong pada kelajuan sehingga 210 km/j kini datang dengan tambahan pengesanan lorong melalui kamera 360-darjah. Sistem Traffic Sign Assist pula ditambah fungsi tanda berhenti dan fungsi lampu amaran merah, sebahagian darpada Driving Assistance Package.

Ini dia sedikit sebanyak tentang Mercedes-Benz C-Class W206 yang baru sahaja diperkenalkan di peringkat global. Apa pandangan anda, adakan ini jauh lebih menarik berbanding model W205 sebelum ini?

Mercedes-Benz C-Class W206 Sedan AMG Line

Mercedes-Benz C-Class W206 Estate AMG Line

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required