Tahukah anda tahun ini merupakan ulang tahun ke-45 Volkswagen Golf GTI? Pada tahun 1976, Volkswagen memperkenalkan versi lebih berprestasi tinggi berasaskan hatchback kompak Golf mereka yang pada asalnya hanya dirancang sebagai model edisi terhad 5,000 unit. Namun kerana permintaan yang cukup tinggi, GTI telah dihasilkan lebih banyak serta diteruskan untuk setiap generasi, dan sehingga kini 2.3 juta Golf dengan lencana ikonik tersebut telah terjual.
Bagi meraikan ulangan tahun ini, Volkswagen telah melancarkan model edisi terhad yang digelar Golf GTI Clubsport 45. Ia diasaskan dari Golf GTI Clubsport Mk8 yang diperkenalkan lewat tahun lalu, dan diberikan pelbagai perincian unik pada bahagian luaran dan dalaman.
Pada sebelah luar, model edisi terhad ini dibezakan dengan pelekat sisi bawah badan dengan nombor ’45’ serta cat hitam pada bumbung dan spoiler belakang, diinspirasikan dari bingkai cermin belakang berwarna hitam pada VW Golf GTI Mk1. Model Clubsport 45 ini juga didatangkan standard dengan pakej Race, menampilkan rim aloi 19-inci Scottsdale dengan kemasan sekeliling Tornado Red.
Dalam kabin, hampir kesemua bahagian masih lagi nampak sama dengan GTI Clubsport biasa termasuk pemadanan tempat duduk sport hadapan dan juga serlahan-serlahan berwarna merah. Apa yang berbeza adalah logo GTI pada bahagian bawah roda stereng diganti dengan nombor 45.
Perincian lain seperti paparan instrumen Digital Cockpit dengan skrin 10.25-inci, skrin infotaimen bersama navigasi 10-inci, lampu suasana kabin dengan 30-warna, set pedal logam tahan karat, brek kecemasan automatik, dan lain-lain masih terus diberikan pada model edisi terhad ini.
Tiada perubahan untuk mekanikal diberikan, di mana penggerak model GTI Clubsport 45 ini masih sama dengan Clubsport biasa. Ia terdiri dari enjin EA888 evo4 2.0 liter turbo yang menghasilkan 300 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh kelajuan memacu roda hadapan.
Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai enam-saat. Berbanding GTI biasa, Golf GTI Clubsport dan Clubsport 45 menerima suspensi 15 mm lebih rendah serta sudut camber lebih positif di hadapan, cakera lebih besar, sistem ekzos sport dan juga pengehad kelajuan maksima yang telah ‘dibuka’.
Pra-jualan Volkswagen Golf GTI Clubsport 45 ini bermula di Eropah pada 1 Mac 2021, dan di Jerman ia akan dijual pada harga bermula 47,790 euro (RM234k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.