Gurney Paragon Mall menjadi pusat membeli-belah pertama di Pulau Pinang yang mengaplikasikan sistem pembayaran parkir menerusi Touch ‘n Go (TNG) PayDirect. Di mana pengguna hanya perlu untuk menambah kad TNG ke dalam Touch ‘n Go eWallet untuk mengaktifkan Touch ‘n Go PayDirect. Sekaligus memberikan lebih kemudahan untuk mereka masuk dan keluar parkir dengan hanya menyentuh Touch ‘n Go PayDirect itu pada mesin pengimbas yang disediakan di laluan masuk/keluar parkir tersebut. Caj parking akan ditolak terus menerusi Touch ‘n Go eWallet.

Selain itu, mulai 1 Mac hingga 30 April 2021, pengguna juga bakal menikmati kadar cashback sehingga 20% apabila menggunakan Touch ‘n Go PayDirect untuk membayar parkir di pusat membeli-belah terbabit. Walau bagaimana pun, promosi ini terhad untuk satu cashback bagi setiap seorang pengguna dan juga terhad untuk 10,000 pertama yang menebus nilai tersebut.

“Dengan pengenalan ruang parkir tanpa tunai dan tanpa tiket ini, membuatkan para pelanggan kami tidak perlu bergegas untuk menambah nilai kad TNG di kios untuk membayar kadar parkir. Malah ia juga boleh mengurangkan kesesakan di laluan masuk dan keluar terutamannya pada waktu puncak atau pun bila waktu operasi pusat membeli-belah ini hampir berakhir,” ujar Khor Tze Ming selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan Hunza Properties Berhad.

Ketua Pegawai Komersil Touch ‘n Go Sdn Bhd, Chong Fhui pula berkata, dengan adanya kemudahan ini, ia mampu menyenangkan para pengguna, apatah lagi dalam tempoh pandemik COVID-19 yang masih menular dan sekaligus memastikan aspek keselamatan pengguna lebih terjaga. “Buat masa ini, tiada surcaj parkir dikenakan di Gurney Paragon Mall, dan jika pengguna menggunakan Touch ‘n Go PayDirect sepanjang tempoh promosi ini, mereka juga bakal menerima cashback sebanyak 20%,”ujarnya.