GALERI: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021 – RM203,183

GALERI: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021 – RM203,183

UMW Toyota Motor telah melancarkan model Toyota Fortuner 2021, sebulan selepas tempahannya dibuka. Tiga varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 2.8L VRZ AT 4×4 diesel berharga RM203,183, 2.7L SRZ AT 4×4 dengan harga RM172,244, dan model untuk pasaran Malaysia Timur (Sabah, Sarawak, Labuan) sahaja iaitu 2.4 AT 4×4 (RM167,357).

Foto yang dipaparkan di sini ialah varian tertinggi VRZ. Ia dijanakan oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel, unit yang sama ditampilkan pada model terkini Hilux Rogue, mampu menghamburkan kuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan limited-slip differential di belakang secara standard.

Selain itu, enjin ini juga menampilkan blok silinder yang lebih optimum dan rekaan kepala gasket dengan balancer shaft untuk tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih baik. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan stereng berkuasa variable flow control (VFC) untuk membantu menjimatkan bahan api dengan menukar kepada mod bersedia (standby) bagi mengurangkan penggunaan kuasa dari enjin apabila tiada sudut stereng diaplikasikan.

GALERI: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021 – RM203,183

Fortuner 2.8 VRZ menerima lampu utama Quad LED yang dirombak semula dengan gril bercorak mesh di tengah, corong pengambilan udara bawah yang lebih besar, rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemaskan untuk imej lebih lasak.

Malahan bahagian bumbungnya, tiang-A, perumah cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya dengan rona hitam. Rekaan setiap sudutnya juga diperkemas agar lebih aerodinamik. Untuk rim, kedua-dua varian menggunakan saiz 18-inci, manakala bampar belakangnya juga diberikan rekaan tersendiri.

Eksklusif untuk varian tertinggi ini juga, ia diberikan Toyota Safety Sense (TSS), yang merangkumi Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dan Yaw Assist Function (YAF).

PCS adalah konsep yang sama dengan AEB, di mana ia beroperasi dalam kelajuan antara 10 km/j dan 180 km/j, sementara DRCC pula boleh diaktifkan dari 30 km/j ke atas. Manakala YAF pula fungsinya sama dengan bantuan kekal lorong, yang akan menghantar brek ke roda untuk membantu kenderaan kembali semula ke lorong yang sepatutnya.

Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ turut diberikan rekaan dan warna baharu, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemaskan dengan animasi pemula, dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Cahaya suasana pula memberikan kelainan ketika waktu malam, sementara perumah kunci juga diberikan rekaan lain.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik (menghindari silau) dan tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan untuk kegunaan peranti moden penumpang.

UMW Toyota Motor turut menawarkan aksesori pilihan Tech-Up, termasuklah perakam video digital di belakang (RM350), pengecas tanpa wayar yang diletakkan di ruang storan perehat tangan hadapan (RM490), penderia tendangan untuk tailgate berkuasa (RM750), dan monitor yang dipasang di siling (RM2,990).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required