UMW Toyota Motor hari ini telah melancarkan model terbaru SUV Fortuner 2021 facelift untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga seperti berikut; Toyota Fortuner 2.8 VRZ dengan enjin 2.8 liter turbodiesel dan transmisi automatik enam-kelajuan 4×4 bermula RM203,183, manakala Fortuner 2.7 SRZ dengan enjin 2.7 liter turbodiesel dan transmisi automatik enam-kelajuan 4×4 bermula dari RM172,244. Turut ditawarkan ialah varian 2.4 AT 4×4 yang dijual pada haarga RM167,357, tetapi ini hanya untuk pasaran di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja.
Fortuner 2.8 VRZ 4×4 A/T ialah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ dalam penawaran sebelumnya. Warna baru Bronze Mica Metallic dengan bumbung hitam juga ditawarkan secara eksklusif bagi varian ini. Bumbung hitam dengan warna badan Super White II juga ada khusus untuk varian sama.
Dari segi penampilannya, Fortuner 2.8 VRZ menerima lampu utama Quad LED dengan gril bercorak mesh di tengah. Unit lampu yang lain juga diberikan rekaan baru, serta rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemas untuk imej lebih lasak.
Untuk membezakan penampilan Fortuner 2.8 VRZ, bahagian bumbungnya, tiang A, perumah cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya dijadikan warna hitam. Rekaan setiap sudutnya juga diperkemas agar lebih aerodinamik. Untuk rim, kedua-dua varian menggunakan saiz 18-inci.
Di dalam, Fortuner datang dengan tiga baris kerusi. Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ diberikan rekaan dan warna baru, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemas animasi pemulanya. Cahaya suasana pula memberikan kelainan ketika waktu malam, sementara perumah kunci juga diberikan rekaan lain.
Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ juga telah dipasangkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik (menghindari silau) dan tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan untuk kegunaan peranti moden penumpang.
Enjin Fortuner menggunakan unit diesel 1GD-FTV empat-silinder common rail. Unit ini menampilkan variable nozzle turbocharger (VNT) tahan lasak dengan intercooler. Enjin 2.8 liternya mampu menghasilkan 204 PS pada 3,000-3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.
Batang imbangan padanya mengurangkan gegaran serta kebisingan, sementara penjimatan dan kecekapan tinggi dicapai melalui sistem suntikan common rail kawalan elektronik yang boleh menyuapkan minyak dalam tekanan tinggi sehingga 250 MPa.
SUV ini juga didatangkan dengan Kawalan Aliran Bolehubah (VFC) pada stereng kuasanya, yang membantu menjimatkan minyak dengan cara pengurangkan beban tork pada pam stereng kuasa berkenaan. Bagi Fortuner 2.8 VRZ, turut ada mod Sport yang memperkayakan lagi maklum balas stereng berkenaan.
Baru untuk model tahun 2021 ini bagi kedua-dua varian adalah ciri Auto Limited Slip Differential (LSD) untuk lebih cengkaman dalam keadaan memerlukan, disamping fungsi 4×4 dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang ada padanya.
Bagi aspek keselamatan, Fortuner kini hadir dengan Toyota Safety Sense (TSS). Ini merangkumi ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist — fungsi terakhir ini hanya ada pada model Hilux dan Fortuner sahaja.
Ciri tambahan lain seperti pengecas tanpa wayar (baru), bukaan pintu belakang dengan gerak kaki (baru), peninjau pada bumbung serta perakam video digital belakang juga boleh dipilih oleh pelanggan. Fortuner 2021 datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada syarat yang dinyatakan dalam buku manual pemilik.
Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati jadual penukaran minyak enjin yang lebih lama bagi enjin dieselnya dengan Revised Service Package. Jadual penukaran minyak enjinnya dilanjutkan kepada setiap 10,000 km atau enam-bulan (yang mana dahulu), berbanding keperluan sebelum ini iaitu setiap 5,000 km/tiga-bulan.
Toyota Fortuner 2021 di Malaysia
Gambar rasmi
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.