Susulan kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pagi tadi di mana satu struktur kren tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur, Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jalan atau laluan kenderaan wajar ditutup jika sesuatu struktur berat perlu dialih dalam melaksanakan projek pembinaan jalan raya atau lebuh raya.

“Perkara itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu diikuti oleh kontraktor bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam. Dalam pelaksanaan projek, misalnya nak alihkan ‘gantry launcher’, jalan perlu ditutup, jika jalan dah selamat, struktur itu pun selamat (dialih), maka barulah buka semula laluan,” ujarnya dalam mengulas kemalangan terbabit yang turut menyebabkan tiga pekerja maut di tempat kejadian.

Bernama melaporkan, melalui siasatan awal, kejadian terbabit berpunca apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan.

Fadillah turut berkata, kontraktor projek sudah berkali-kali dinasihatkan mematuhi SOP namun kejadian itu masih berulang. Justeru, beliau menggesa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menyiasat dan mengambil tindakan tegas jika kontraktor didapati tidak mematuhi SOP.

“Kontraktor ini boleh disenarai hitam, tidak diberi projek langsung selama dua tahun,” tegasnya.