Kita sekali lagi dikejutkan dengan berita berkenaan kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) – pagi tadi satu struktur kren tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan di berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, pihak pemaju projek berkenaan sudahpun mengeluarkan notis lencongan dan penutupan sementara sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai untuk kedua-dua arah berikutan kemalangan yang berlaku tersebut serta merta, sehingga kerja-kerja pembersihan selesai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pengguna dari arah Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) yang ingin menuju ke Alam Damai akan dilencongkan ke Jalan Cerdas (Pasar Malam Taman Connaught) untuk keluar ke Jalan Alam Damai berhampiran OCBC Bank (Rujuk Peta Laluan Alternatif Berwarna Hijau).

Semasa penutupan dijalankan, hanya penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran penutupan (Mandarina, Puncak Banyan Condominium,Altitude 236 dan penduduk yang terlibat) sahaja yang dibenarkan menggunakan laluan tersebut. Penempatan pengawal trafik dan lalulintas, kon keselamatan dan papan tanda amaran dan arah akan diletakkan di sepanjang laluan yang terlibat.

Pihak pemaju SUKE menasihatkan pengguna laluan terbabit agar mematuhi papan tanda arah, kelajuan dan keselamatan serta arahan kakitangan bertugas untuk perjalanan yang lancar dan selamat di sepanjang laluan tersebut, serta gunakan laluan alternatif yang dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan.

Sehingga kini, pemaju berkenaan telah mengesahkan bahawa tiga orang pekerja warga China telah terkorban, dan seorang pengguna jalan raya telah cedera dalam kejadian itu. Punca kemalangan yang menyebabkan komponen gantri kren berkenaan terjatuh masih dalam siasatan.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang disiarkan dalam laporan Astro Awani, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.45 pagi. Seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati berlakunya kejadian melibatkan struktur besi crane launcher pembinaan lebuh raya telah jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Antara mangsa terlibat merupakan pemandu kereta Bezza tersebut susulan kenderaannya dihempap besi kren berkenaan dan mengalami kecederaan parah. Manakala tiga orang mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut. Dipercayai dua mangsa telah jatuh setinggi 120 kaki dan telah disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi mangsa masih tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan,” tulis kenyataan yang dikeluarkan tersebut awal pagi tadi.