MyKar – misi hasilkan kereta elektrik buatan M’sia bawah RM50k dengan penyelidikan EV Innovations

MyKar – misi hasilkan kereta elektrik buatan M’sia bawah RM50k dengan penyelidikan EV Innovations

Kereta elektrik sepenuhnya MyKar yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, EV Innovations telah didedahkan dua tahun lalu, dan semalam syarikat berkenaan telah maju setapak lagi dengan menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Institut Automotif, Robotik dan Iot Malaysia (MARii) berkenaan proses homolagasi bagi membolehkan projek tersebut bersedia untuk pengilangan.

EV Innovation yang juga subsidiari dari syarikat penyedia teknologi informasi dan komunikasi tempatan System Consultancy Services (SCS) juga telah menandatangani MoA bersama Ingress Corporation untuk melihat peluang bagi mengilangkan komponen. Majlis tandatangan berkenaan telah dibuat di Litar Antarabangsa Sepang, yang turut sekali lagi mendedahkan prototaip MyKar tersebut kepada pihak media.

Walaupun ia sebuah prototaip yang berfungsi, MyKar masih lagi jauh dari bentuk produksi sebenar. Ia masih kelihatan hampir sama dengan rupa yang didedahkan buat pertama kali di Kuala Lumpur Engineering Science Fair pada November 2019 dan prebiu di Putrajaya Airstrip September tahun lalu.

MyKar – misi hasilkan kereta elektrik buatan M’sia bawah RM50k dengan penyelidikan EV Innovations

Asas prototaip ini merupakan casis ladder frame/tubular yang dihasilkan sendiri oleh EV Innovation, manakala badan komposit gentian kacanya dibuat oleh DK Composites. Rekaan luaran prototaip MyKar ini kelihatan seperti Honda Jazz GE kerana ia menggunakan pintu dan juga suspensi yang diambil dari model berkenaan. Penampilan terbaharu ini menyaksikan ia diberikan jalur LED baharu bersama lencana MyKar yang besar di belakang.

Ketika prebiu tahun lalu, MyKar dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 10 kW yang dihasilkan dari 32 sel lithium-ion fosfat (LiFePO4) China Aviation Lithium Battery (CALB), yang menawarkan jarak gerak sekitar 150 km dan tempoh mengecaj sekitar tiga jam.

Menerusi penampilan terbaharu semalam, prototaip ini sudah pun diberikan bateri 28.7 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 300 km dengan sekali caj. Tempoh mengecaj pula menjadi lebih lama dengan bateri baharu ini tetapi tidak jauh berbeza – 4.3 jam diperlukan dengan kadar 6.6 kW. Bateri dengan kapasiti lebih besar ini juga telah meningkatkan beratnya dari hanya 900 kg sebelum ini kepada 1,016 kg.

MyKar – misi hasilkan kereta elektrik buatan M’sia bawah RM50k dengan penyelidikan EV Innovations

Kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik masih lagi sama iaitu 24 kW (32 hp) dan tork maksima 30 kg/m (295 Nm), namun dua motor 12 kW pada hab roda belakang telah pun diusik semula dari segi prestasinya. Sebelum ini dengan motor 10 kW ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 16.7 saat dan kelajuan maksima 104 km/j. Dengan talaan baharu ini, kelajuan maksima naik sehingga 140 km/j tetapi pecutan 0-100 km/j menjadi lebih lambat dengan masa 18 saat.

Sistem kamera sisi, dua skrin LCD dalam kabin dan juga panel solar di atas bumbung untuk mengecaj bateri sistem AC berasingan masih lagi ada, namun ada berberapa perubahan dilihat pada bahagian dalaman. Skrin tengah diberikan unit baharu yang lebih kecil, tetapi ia kini menampilkan kebolehan telemetri jarak jauh menerusi sistem komunikasi onboard baharu (sebab itu terdapat dua antena baharu di belakang).

MyKar masih lagi tampil sebagai sebuah konsep kereta elektrik sepenuhnya yang boleh dihasilkan oleh syarikat tempatan dengan harga jualan di bawah RM50,000, namun EV Innovation menegaskan bahawa teknologi yang mereka hasilkan ini bukan untuk mereka sendiri gunakan bagi membangunkan sendiri versi produksi sebenar.

Dalam majlis yang berlangsung semalan, pengerusi eksekutif SCS Datuk Kalilur Rahman Ebrahim mengulang apa yang telah diucapkan pada September lalu bahawa EV Innovation tidak berminat untuk membangunkan MyKar secara komersil tetapi membuat penyelidikan dan pembangunan sistem EV dan menggunakan kereta ini sebagai asas ujian bagi menunjukkan kebolehan teknologi berkenaan.

“SCS tak berminat untuk menjual kereta. Kami tiada jenama untuk tujuan itu, dan ia tidak akan digelar MyKar. Kami menjual teknologi kepada mereka yang berminat untuk membuat EV,” katanya. SCS berharap untuk menarik minat rakan kerjasama institusi atau pelabur runcit persendirian yang mahukan teknologi elektrifikasi.

Beliau turut menambah bahawa projek sebegini memerlukan penglibatan banyak pihak berkepentingan, seperti mereka yang membuat komponen dan sistem pengurusan bateri (BMS), dan aspek ini turut perlu dititik beratkan. Sehingga tahap ini, syarikat berkenaan akan bekerjasama dengan MARii bukan setakat aspek homologasi untuk EV, tetapi turut mengambilkira pembangunan teknologi berkaitan seperti BMS, protokol komunikasi kenderaan dan teknologi pengecaj tanpa wayar untuk EV.

Dalam majlis semalam, EV Innovation turut mempamerkan sebuah Proton Arena yang telah dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya. Projek berkenaan memperlihatkan enjin 4G15 asal Arena tersebut bersama komponen kotak gear telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa elektrik.

Menurut syarikat tersebut lagi, projek tersebut bukan sahaja menunjukkan tidak mustahil untuk merubah sebuah kereta konvensional kepada kereta elektrik (masih lagi belum dibenarkan oleh undang-undang buat masa sekarang), malah ia juga menunjukkan bagaimana kuasa elektrik dapat memberikan lebih ekonomikal – dan lebih ringan – sebagai alternatif dalam pengilangan kereta produksi massa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required