MyKar oleh EV Innovations – kereta elektrik prototaip 32 hp yang direka dan dibangunkan syarikat Malaysia

MyKar oleh EV Innovations – kereta elektrik prototaip 32 hp yang direka dan dibangunkan syarikat Malaysia

Sebuah syarikat baru di Malaysia iaitu EV Innovations berharap teknologi kenderaan elektrik (EV) mereka dapat menjadi permulaan bagi EV keluaran tempatan. Bagi menunjukkan potensinya, firma yang merupakan anak syarikat kepada penyedia teknologi informasi dan komunikasi tempatan, System Consultancy Services (SCS) itu telah menghasilkan sebuah kereta prototaip yang dipanggil sebagai MyKar.

Projek pembangunan kereta ini sudah dimulakan pada bulan Januari 2019, dan pernah dipamerkan kepada orang ramai waktu Pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur November tahun lepas. Ujian bergerak dimulakan tahun ini, tetapi terganggu akibat pandemik Covid-19. Semalam, satu lagi sesi ujian diadakan di landasan udara Putrajaya dan sedikit tetamu dijemput menyaksikannya secara dekat.

Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, MyKar ini masih jauh daripada bentuk produksi akhir, tetapi ia sudah berfungsi sepenuhnya (masih belum sah diguna atas jalan raya). Mungkin ada yang mengatakan bentuk luarnya seperti biasa dilihat, kerana ia nampak seperti Honda Jazz – sebenarnya memang model itu yang dibeli dan digunakan oleh EV Innovations untuk tujuan pembangunan kejuruteraan.

Pintu dan suspensi MyKar digunakan terus daripada Jazz, dan bentuknya menjadi asas kepada badan binaan komposit gentian oleh DK Composites. Kenderaan ini dibina atas casis ladder frame/tubular yang dihasilkan sendiri oleh EV Innovations.

Berat MyKar adalah 900 kg, dan ia dipacu oleh dua motor hab 12 kW untuk menggerakkan roda belakang. Kuasa pula datang daripada pek bateri berkapasiti 10 kWh yang terdiri daripada 32 bateri lithium ion phosphate (LiFePO4) China Aviation Lithium Battery (CALB), dengan berat keseluruhan 100 kg.

Melalui konfigurasi ini, penggunaan kuasa berada pada tahap 6.6 kWh bagi setiap 100 km, seterusnya memberikan ia jarak gerak sekitar 150 km, dengan waktu mengecas sekitar tiga jam. Syarikat itu memberitahu, dengan bateri 16 kWh, jarak ini boleh ditingkatkan menjadi 200 km, tetapi waktu mengecas juga akan bertambah menjadi 4.8 jam manakala berat menjadi 1,016 kg.

Bagi versi bateri 10 kWh, ia mampu menghasilkan kuasa 24 kW (32 hp) dan 30 kg/m (295 Nm), dan apabila diterjemahkan kepada prestasi, boleh mencecah kelajuan maksimum 104 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 16.7 saat. Bunyinya seperti tidak berapa laju tetapi pecutan 0-100 km/j MyKar ini adalah lebih pantas daripada Perodua Myvi, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa ujian pecutan antara dua kereta tersebut.

Syarikat ini juga mempunyai video ujian sama yang dilakukan awal tahun ini. Sebelum ditunjukkan dalam acara semalam, kereta itu telah melalui beberapa ujian lapangan sebelum pandemik melanda. Ujian pertama adalah untuk jarak gerak dan ketahanan di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan Februari lalu manakala ujian kedua untuk prestasi, di landasan udara Putrajaya pada bulan Mac.

Juga boleh dilihat, MyKar tidak lagi menggunakan cermin sisi biasa dan diganti dengan sistem kamera bersama skrin LCD di dalam, serta panel solar atas bumbung untuk mengecas bateri lain yang digunakan untuk sistem pendingin hawa kenderaan tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required