Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

Ini ada sedikit kemaskini berkaitan standard diesel Euro 5 yang menggantikan diesel Euro 2M di semua stesen minyak seluruh Malaysia bermula 1 April lalu. Bahan api berkenaan ditawarkan dalam dua gred, satu dengan campuran biodiesel B10/B20 dan satu lagi campuran B7 seperti sedia ada ketika ini. Perkara ini disahkan oleh beberapa pemain utama dalam indsutri minyak runcit yang telah kami hubungi.

Secara ringkas, Euro 5 B10/B20 adalah ganti kepada diesel Euro 2M dan akan mengikut tanda harga yang sama, termasuk harga siling RM2.15 per liter, sementara Euro 5 B7 akan terus dijual sebagai produk berasingan, pada harga 10 sen lebih mahal bagi setiap liter berbanding Euro 5 B10 ketika ini (RM2.25 seliter).

Penjualan bahan api dengan kadar campuran baru ini tidaklah mengejutkan, kerana telah disebut-sebut sejak beberapa tahun lalu. Pada Disember 2015, gazet persekutuan mendedahkan standard baru itu akan diperkenalkan pada 1 September 2020 bagi menggantikan Euro 2M. Bagaimanapun, Jun tahun lalu, penjualannya ditunda hingga 1 April ini akibat Covid-19.

Penjualan bermula 1 April itu dimandatkan bulan lalu melalui Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kawalan Bahan Petrol dan Diesel) (Pindaan) 2021 kerajaan persekutuan bertarikh 25 Mac. Di dalamnya turut mengandungi kemaskini bagi Standard Diesel Malaysia bakal menyaksikan bahan lain yang turut didefinisikan bagi diesel Euro 5 secara berperingkat, dan lengkapi sepenuhnya pada 1 April 2023.

Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

Pengumuman rasmi yang telah dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu, bagaimanapun tidak mengandungi perincian lain selain bahan api ini diperkenalkan, mendatangkan banyak pertanyaan misalnya sama ada ketika ini hanya ada satu gred diesel Euro 5 sahaja yang dijual, dan campuran biodiesel apa yang digunakan.

Sebelum penjualan terbaru ini, diesel Euro 2M mengandungi B10 (10% methyl esther sawit dan 90% diesel biasa) atau, di sesetengah lokasi, B20 (20% kandungan minyak sawit), sementara bagi Euro 5 pula menggunakan campuran B7 sejak diperkenalkan di sini pada 2014.

Kelebihannya seperti yang dijelaskan sebelum ini adalah bahan api baru berkenaan lebih bersih kepada alam sekitar. Sementara Euro 2M mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm (parts per million), dan Euro 5 mempunyai sulfur yang lebih rendah, iaitu hanya 10 ppm.

Sulfur dalam diesel menghasilkan particulate matter (PM) ketika pembakaran, yang sangat memudaratkan alam sekitar. Lebih rendah kandungan sulfur, maka lebih rendah pencemaran. Selain itu, bahan api yang lebih bersih juga akan memanjangkan jangka hayat enjin dan memperbaiki kecekapannya — dan tanpa sebarang kos tambahan.

Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

Bagi kandungan biodiesel pula, Euro 5 mengikut tahap sebelum ini iaitu B10. Walaupun negara memperkenalkan program campuran B20 (20% kandungan minyak sawit) pada 1 Februari 2020, pelaksanaan ke seluruh negara telah ditangguhkan. Asalnya dijadualkan pada Jun tahun ini, pengenalan penuhnya telah dianjakkan ke awal tahun 2022.

Perlahan-lahan, bahan api ini akan menggantikan B10 sebagai campuran biodiesel utama di hampir 3,400 stesen minyak seluruh negara, kecuali di Cameron Highland dan Genting Highland di Pahan serta Kundasang di Sabah, yang akan terus menjual biodiesel B7.

Apa pun, penjualan Euro 5 B7 jika diteruskan sebagai pilihan, dengan perbezaan harga, akan menjadi kelegaan buat pengguna yang tidak berminat dengan campuran biodiesel lebih tinggi.

Masih ada keraguan tentang keserasian B20 terhadap enjin kenderaan, meneruskan lagi keresahan teknikal yang dibangkitkan oleh B10 sebelum ini. Ada dakwaan menyatakan penggunaan biodiesel yang lebih tiggi daripada B7 akan mengakibatkan asid methyl ester bercampur dengan minyak enjin, menyebabkannya menipis dan menyebabkan mendapan dalam enjin.

Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

Dari segi pelaksanaan, kami bertanya adakan Euro 5 B10 telah dijual sepenuhnya di seluruh negara. Ketika ini, hanya BHPetrol — yang pertama memperkenalkan diesel Euro 5 di negara ini, di Johor — memberikan maklum balas menyatakan bahawa peralihan mereka sudah pun selesai, dengan Euro 5 B10 kini boleh di dapati di semua stesen minyaknya seluruh negara disamping campuran B7 biasa. Maklum balas daripada pengeluar minyak lain akan dimaklumkan selepas ini.

Dengan langkah terbaru ini, semua bahan api runcit di negara ini telah menepati standard Euro 4 dan Euro 5. Bagi petrol, RON 97 menjadi yang pertama menerapkan standard Euro 4M pada September 2015, dan RON 95 asalnya ditetapkan pada Oktober 2018 — tetapi pengenalannya hanya berlaku pada Januari 2020.

Bagi peralihan gred kepada petrol Euro 5, ia akan berlangsung pada 1 September 2025. Tarikh berkenaan dipaparkan dalam gazet bulan lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required