KBS arah tangguh sebarang kejohanan Drag di litar Sepang susulan insiden pelanggaran SOP minggu lalu

KBS arah tangguh sebarang kejohanan Drag di litar Sepang susulan insiden pelanggaran SOP minggu lalu

Susulan kekecohan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat minggu lalu ketika satu perlumbaan Drag dianjurkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengarahkan pihak pengurusan litar berkenaan untuk menangguhkan sebarang penganjuran perlumbaan dalam format berkenaan buat sementara waktu.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam dan laporannya disiarkan oleh Bernama, KBS memaklumkan bahawa penangguhan itu berkuat kuasa sehingga pihaknya berpuas hati dengan penilaian semula dan penambahbaikan, ke atas protokol pengurusan venue di SIC.

Menurut KBS lagi, penganjur perlumbaan ‘MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021’ tersebut iaitu MUSC Motorsport yang gagal memastikan pematuhan SOP penganjuran perlumbaan itu juga tidak dibenarkan untuk menganjurkan sebarang kejohanan drag di SIC dan mana-mana litar sehingga diberi kebenaran KBS dan pihak berwajib.

Kementerian berkenaan turut menjelaskan bahawa keputusan sedemikian diambil selepas mereka mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, selain wakil MUSC Motorsports dan Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM) berhubung insiden itu.

KBS arah tangguh sebarang kejohanan Drag di litar Sepang susulan insiden pelanggaran SOP minggu lalu

“KBS memandang serius berhubung insiden pelanggaran SOP Sukan dan Rekreasi yang ditetapkan, memandangkan KBS sedang mempergiatkan usaha untuk menghidupkan semula industri sukan yang terjejas teruk, berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, KBS berharap agar semua penggiat dan peminat sukan dapat memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan berkenaan.

Walau bagaimanapun, KBS turut menyatakan bahawa aktiviti sukan permotoran lain di SIC masih dibenarkan, tertakluk kepada kebenaran KBS dan pihak berwajib serta pematuhan ke atas SOP sepenuhnya.

Dalam kejadian tersebut, tular gambar sebuah kereta peronda Polis ‘menyerbu’ kawasan paddock SIC ketika perlumbaan Drag berkenaan berlangsung, yang diakhiri dengan penganjur perlumbaan dilaporkan menerima kompaun sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pihak SIC telah bekerjasama dengan pihak polis di SIC untuk menyuraikan orang awam yang berkumpul. Kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang ingkar dengan SOP yang telah diberikan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial. Demi memelihara aktiviti dan acara sukan permotoran tempatan dapat diteruskan, pihak SIC akan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang di masa akan datang,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SIC sehari selepas insiden tersebut berlaku.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required