Demi memenuhi permintaan pelanggan di China yang gemarkan kenderaan panjang, Mercedes-Benz telah mendedahkan C-Class jarak roda panjang baru waktu acara Auto Shanghai. Model yang menggunakan asas daripada C-Class W206 generasi kelima ini dibuat oleh Beijing Benz, iaitu syarikat kerjasama BAIC Motor dan Daimler.
C-Class L mempunyai jarak roda 89 mm lebih panjang berbanding W206 biasa, iaitu 2,954 mm, sementara kalau dibandingkan pula dengan model V205 sebelumnya, ia adalah 34 mm lebih panjang. Ukuran keseluruhan dari depan ke belakang juga sudah tentu bertambah, menjadi 4,882 mm, iaitu 131 mm lebih panjang berbanding W206 biasa.
Pada aspek rekaan, rupa C-Class L ini sama sahaja seperti model C-Class biasa, tetapi ada beberapa bahagian yang diubah dan menampakkan bezanya. Sebagai permulaan, pintu belakang adalah lebih besar demi memudahkan penumpang keluar dan masuk ke dalam kabin yang juga lebih luas, manakala di belakang, terdapat lencana C260L dan pada c-pillar pula terdapat lencana L unik.
Berdasarkan gambar yang disediakan oleh Mercedes-Benz, model ini akan ditawarkan dalam dua pakej penggayaan. Yang pertama, adalah AMG Line dengan pin pada gril berwarna krom, manakala satu lagi kelihatan seperti Exclusive Line yang mempunyai gril berjalur serta bonet yang berbonjol.
Di dalam, bahagian depan sama sahaja seperti model biasa, tetapi di belakang barulah perubahannya lebih besar. Penumpang bukan setakat mendapat ruang yang lebih luas, tetapi juga tempat duduk yang lebih selesa dengan terdapat seperti bantal pada penyandar kepala. Suspensi serta kedapan udara untuk model ini juga ditambah baik untuk memberikan lebih keselesaan.
Berdasarkan laporan daripada Autohome, C-Class L akan ditawarkan kepada pelanggan di China dengan enjin petrol empat silinder 1.5 liter yang boleh dipilih untuk dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48 volt ataupun tidak, serta enjin empat silinder 2.0 liter. Transmisi automatik 9G-Tronic dengan pacuan dua roda hadapan adalah standard, sementara pacuan semua roda 4Matic pula disediakan sebagai pilihan tambahan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.