MV Agusta sekali lagi memperkenalkan model keluaran terhad, kali ini dinamakan sebagai Rush 1000. Model ini sebenarnya menggunakan asas daripada Brutale 1000, tetapi keseluruhan panel badannya ditukar untuk menjadi lebih garang dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 300 unit untuk seluruh dunia.
Rekaan berkonsepkan industri/jentera perang/komik manga ini dicat dengan kebanyakan berwarna hitam, berserta jalur kuning di beberapa bahagian. Kemudiannya, ia diserikan lagi dengan gentian karbon pada pelindung enjin, pelindung ekzos, penutup bawah tempat duduk, pelindung rangka dan rim, serta penutup kotak udara.
Dalam keadaan standard, enjin empat silinder 988 cc pada hypernaked ini boleh menghasilkan kuasa 208 hp pada 13,000 rpm dan 116.5 Nm tork (sama seperti Brutale 1000RR, tetapi jika dipasang dengan kit lumba Rush, ia boleh meningkat menjadi 212 hp pada 13,800 rpm.
Kit lumba ini sebenarnya diberikan terus kepada pembeli Rush 1000, diletakkan dalam satu kotak khas, dan di dalamnya mempunyai set ekzos SC Project, ECU khas, penutup untuk tempat duduk belakang, ekzos dan panel instrumen, penutup tempat isi minyak CNC, tuil brek dan klac CNC, kain penutup motosikal, cakera brek khas serta helmet AGV Pista GP.
Kelengkapan lain adalah sama sahaja seperti Brutale 1000RR termasuklah transmisi enam kelajuan dengan pam Brembo dan quickshifter, tetapan cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan, suspensi Ohlins yang boleh dilaras depan dan belakang (NIX EC 43 mm dan monoshock EC TTX), damper elektronik Ohlins dan panel instrumen TFT yang boleh disambungkan kepada aplikasi pintar untuk pelbagai fungsi.
GALERI: MV Agusta Rush 1000 dengan kit lumba
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.