Ekoran insiden kemalangan yang membabitkan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen KLCC malam tadi, perkhidmatan tren berkenaan masih beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi tadi. Walau bagaimana pun, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, hanya satu landasan sahaja digunakan buat sementara waktu, dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu lain.
Selain itu, Prasarana turut menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma. Manakala
pengurangan kapasiti kepada 50% masih dilaksana susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, justeru, penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa.
Menjelaskan lagi berhubung perkara ini, Prasarana berkata lima buah bas perantara dua tingkat disediakan secara percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit pada waktu puncak, akan turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.
Kemalangan yang berlaku pada jam 8.45 malam tadi telah menyebabkan menyebabkan seramai 213 penumpang cedera dan 47 lagi dilaporkan parah. Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam ciapannya menerusi Twitter mengesahkan enam penumpang mengalami kecederaan kritikal dengan tiga daripadanya terpaksa diintubasi. Manakala 15 penumpang lagi semi kritikal serta 43 lagi mengalami kecederaan ringan.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berdasarkan siasatan awal, pelanggaran antara KOC Tren LRT dari Stesen KLCC yang dipandu secara automatik telah bertembung dengan KOC tanpa penumpang dari Stesen Kampung Baru menghala ke Stesen KLCC yang dipandu secara manual.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu KOC daripada Stesen KLCC tidak dapat mengesan koc dari Kampung Baru kerana berlaku “misscommunication” daripada pusat kawalan. Tiada elemen sabotaj dikesan setakat ini,” ujarnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010.
Lewat malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengarahkan siasatan penuh dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan membabitkan perlanggaran dua tren LRT berkenaan.
Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, selepas semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai. Prasarana turut memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
“Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku, dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terbabit dalam insiden malam tadi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan,” menurut kenyataan Prasarana.
Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang melawat tempat kejadian sebentar tadi memaklumkan, pihaknya akan menyalurkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada 213 mangsa yang terlibat dalam kemalangan LRT
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.