Kalau sebelum ini anda pernah tengok hasil rekaan Theophilus Chin yang membayangkan sedan segmen C Proton yang diberi gelaran S50, itu adalah ilham yang diambil dari sentuhan rekaan SUV X50. Kali ini, beliau kembali lagi membayangkan model S50 yang sama, tetapi dengan perhatian dialihkan kepada Geely Emgrand sebagai inspirasi utama.

Dengan panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm dan tinggi 1,460 mm serta jarak antara roda 2,650 mm, saiz Emgrand ini meletakkan sedan berkenaan antara segmen B dan C, dengan spesifikasi yang lebih menjurus kepada segmen B+, memandangkan Emgrand menggunakan platform BMA yang turut digunakan pada Binyue.

Wajah depan, terutamanya pada rekaan gril, telah diubah mengikut sentuhan rekaan pada model Proton dengan corak Infinite Weave dengan logo Proton ditempatkan sekali menggantikan logo Geely. Bampar depan yang digunakan pula nampak seiras dengan yang ada pada Geely Emgrand.

Dalam satu video yang mengiringi rekaan ini, lencana S50 telah dihasilkan menggunakan bentuk huruf Volvo S60, yang turut digunakan pada plat bilik pameran serta untuk logo pada but. Selari dengan pendekatan perkongsian badannya, penggayaan bahagian belakang Emgrand dibawa untuk rekaan S50 ini. Lencana S50 serta nama Proton diletakkan di tengah antara lampunya, tempat yang sama penjenamaan model Geely tersebut diletakkan. Turut dipinjam terus daripada Emgrand ialah rekaan rim S50 yang dilihat ini.

Beliau juga ada menunjukkan rekaan rendering bagi bahagian ruang dalaman sedan Proton ini, dengan menampilkan peralihan dari pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan. Manakala paparan kandungan infotainmen juga sudah diterapkan dengan unsur tempatan — lihat nama “Petaling Jaya” ditulis pada paparan cuaca dan lokasinya.

Macam mana? Adakan imej render dari Geely Emgrand ini lebih menarik untuk diterapkan kepada sedan Proton S50 nanti?