Kia K3 EV kini telah dilancarkan di China, dengan harga subsidi di antara 176,800 yuan hingga 186,800 yuan (RM114,012 hingga RM120,461) dengan dua varian. K3 EV menyertai KX3 EV sebagai kereta elektrik kedua yang ditawarkan oleh Kia di China.
Dari segi rekaan, K3 EV kelihatan sama seperti versi petrolnya yang dijual untuk pasaran di sana, tetapi kini sepenuhnya dengan sistem janaan elektrik. Perbezaan paling ketara antara keduanya ialah bahagian gril yang tertutup dan kemasan biru yang ada bagi versi EV, yang turut menjadi tema hiasan dan kemasan di bahagian dalamnya — dengan rekaan berbeza pada konsol; pemilih gear rotari dan kluster instrumen digital sepenuhnya bersaiz tujuh inci.
Menjanakan kuasa bagi K3 EV ini ialah motor elektrik depan 135 kW (184 PS atau 181 hp) dan 310 Nm tork serta mampu memecut hingga laju maksimum 165 km/j. E-motor berkenaan mendapat kuasa dari bateri 48.6 kWh yang didakwa akan memberikan jarak 410 km dalam kitaran gabungan. Tiada perincian pengecasan diberikan setakat ini.
Kelengkapan standard bagi varian tertinggi terdiri daripada rim aloi 17-inci, lampu luar LED, bumbung matahari kuasa elektrik, balutan kulit, sistem tanpa kunci, pendingin hawa automatik dengan penyegar udara, but kuasa elektrik, pengecas tanpa wayar dan skrin sentuh 10.25-inci untuk sistem infotainmen spesifik untuk EV.
Aspek keselamatan terdiri daripada enam beg udara, beberapa sistem pasif, sistem peninjau tekanan tayar serta beberapa sistem aktif. Ini termasuklah kawalan melayar adaptif, penghindar perlanggaran depan, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, pengingat untuk berehat, amaran perlanggaran titik buta dan lampu tinggi automatik.