Audi Q5 facelift di laman web M’sia, tiba tak lama lagi?

Audi Q5 <em>facelift</em> di laman web M’sia, tiba tak lama lagi?

Ada beberapa penawaran terbaru dari Audi untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini. Antaranya ialah model Audi Q5 facelift yang kini muncul dalam laman web rasmi di Malaysia. Ia lengkap dengan senarai spesifikasi, tetapi belum ada tanda harga yang diumumkan. Sama seperti model Q2, Q5 generasi kedua ini membuat penampilan pertamanya di Malaysia ketika acara PACE anjuran paultan.org pada penghujung 2018, dan dilancarkan secara rasmi pada Mac 2019.

Versi facelift ini dicirikan dengan gril Singleframe oktagonal yang lebih tirus, diikuti dengan penggayaan Q8, disertakan juga dengan rekaan lampu utama yang direka semula dengan LED DRL khas. Di bawahnya, bukaan udara yang ada kini lebih besar, dengan kemasan tambahan. Bampar baru yang dikenakan melibatkan pertambahan 19 mm untuk kepanjangan Q5, yang ini menjadi 4,682 mm. Lampu belakang pula dari jenis OLED dan disambung dengan satu jalur menghubungkan kedua-dua sisi.

Rekaan papan pemuka ringkas model ini masih dikekalkan, tetapi sistem Modular Infotainment Platform (MIB 3) generasi ketiga menjadi pertambahan baru. Paparan MMI touch 10.1-inci disertai juga oleh kokpit maya Audi 12.3-inci dan ciri head-up display.

Setakat ini, kita akan menerima Q5 dalam penawaran enjin 2.0 TFSI quattro S Line, sama seperti sebelum ini. Unit yang digunakan ialah 2.0 liter turbo empat-silinder dengan janaan 249 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm, dan 370 Nm tork dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi S-tronic tujuh-kelajuan dan quattro 4WD, dan Q5 memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan laju maksimum 240 km/j.

Unit TFSI yang ada juga telah diberikan bantuan janaan mild hybrid. Jangan keliru dengan sistem 48-volt yang digunakan oleh model Q7, MHEV pada Q5 ini terdiri daripada generator-penghidup pacuan tali sawat yang disambungkan kepada bateri lithium ion pada sistem 12-volt. Ini membantu untuk memulihkan semula tenaga ketika melayar dan membrek, serta membolehkan ciri Start/Stop berfungsi di bawah kelajuan 22 km/j. Kadar penggunaan minyak gabungan ialah 8 liter per 100 km (12.5 km/l).

Audi Q5 <em>facelift</em> di laman web M’sia, tiba tak lama lagi?

Kelengkapan standard untuk pasaran Malaysia pula terdiri daripada ciri Audi Drive Select, kawalan melayar, Parking Aid Plus, kamera undur, kawalan pendingin tiga-zon, kerusi depan larasan elektrik empat-hala (fungsi Memory untuk pemandu), kerusi sport di depan, pintu belakang elektrik, cermin pandang belakang tanpa bingkai dan anti silau, kerusi balutan kulit gabungan serta pelindung matahari untuk tingkap belakang.

Turut ada ialah Audi Virtual Cockpit Plus, MMI Navigation dengan MMI touch, antaramuka telefon Audi dan sistem audio 180W dengan 10-pembesar suara. S Line juga dilengkapi dengan landasan bumbung aluminium, pakej High-Gloss Styling, lampu utama LED dengan pencuci, lampu belakang kombinasi LED dan rim 19-inci aloi dengan tayar 235/55.

Tidak ketinggalan ialah pilihan untuk unit CBU Audi ini. Antaranya termasuk suspensi udara adaptif, HUD, Park Assist, pakej Black Apperance, bumbung panoramik kaca, sistem bunyi Bang & Olufsen dan sistem pencahayaan — lampu LED Matrix dengan lampu belakang LED biasa, atau lampu OLED yang lebih canggih. Kedua-duanya datang dengan bantuan mengekalkan lorong aktif Audi. Rim 20-inci Audi juga ada untuk dipilih. Semua pilihan ini bagaimanapun akan melibatkan kos yang tidak sedikit, tentunya.

Sebagai model import sepenuhnya dari Mexico, Q5 dijangka akan jadi agak mahal harganya; belum ada harga rasmi untuk pasaran tempatan bagi model facelift ini, tetapi berdasarkan harga pelancaran model tahun 2019 sebelum ini, ia mungkin akan lebih mahal daripada RM340k.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required