Beberapa bulan lalu, Audi telah pun memperkenalkan model Q5 dan SQ5 Sportback. Kedua-dua model berkenaan disasarkan untuk bersaing dengan BMW X4 dan Mercedes-Benz GLC Coupe, sekaligus menawarkan pilihan bagi Q5 yang lebih menarik buat para penggemar Audi.

Formula bagi Q5 Sportback agak ringkas – ia menggunakan Q5 standard dan menambah garisan bumbung yang landai menghala ke bahagian belakang. Selain itu, kebanyakan ciri lain masih ‘dipinjam’ dari Q5 biasa. Ini termasuklah gril “bingkai tunggal” yang lebih lebar, lampu utama LED trapezoidal, dan lampu belakang baharu dengan teknologi pilihan LED, yang disambung ke palang krom.

Bagi model yang lebih hot, SQ5 Sportback TDI, ia ditampilkan dengan kit badan yang lebih agresif, sepasang paip ekzos berkembar, roda 20-inci (boleh dipertingkatkan ke unit 21-inci) dan rotors berdiameter 375 mm yang lebih besar dengan enam-pot clamper. Malahan lencana S juga ditampal pada gril, tailgate dan di dalam kabin.

Buat masa ini, Q5 Sportback ditampilkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel 2.0 liter pengecas turbo, kedua-duanya mampu menghasilkan 204 PS dan dipadankan bersama transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan. Sementara SQ5 TDI menerima enjin 3,0 liter turbo-berkembar diesel V6 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 341 PS dan tork 700 Nm pada 1,750 hingga 3,250 rpm. Ia juga digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda (quattro), membolehkan SUV ini dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 5.1 saat.

Bagi model Q5 Sportback biasa turut menerima quattro AQD, dan ditawarkan dengan sistem mild hybrid. Sistem ini membolehkan kereta terus dipacu walau pun enjin dimatikan dan ia juga berfungsi dengan sistem start-stop apabila kelajuan berkurangan dari 22 km/j. Dua varian plug-in hybrid dengan hamburan kuasa yang berlainan pula akan ditawarkan kemudian. Selain itu, peredam adaptif dan suspensi udara ditawarkan sebagai pilihan, di mana ia membolehkan SUV ini dilaras ketinggiannya dalam lima peringkat sehingga 60 mm.