Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

Pada bulan Mac 2019, Aston Martin telah memperkenalkan model konsep AM-RB 003, yang menunjukkan contoh awal sebuah model yang akan dikenali sebagai Valhalla. Kini, versi produksi model tersebut sudah pun ditunjukkan kepada awam, dan menampakkan beberapa perubahan berbanding model konsep sebelumnya.

Sebagai permulaan, model ini tidak akan dikeluarkan dalam jumlah terhad 500 unit sahaja, dan menurut Autocar, harga satu juta pound sterling (sekitar RM5.8 juta) yang dicadangkan sebelum ini juga telah diturunkan kepada antara 600,000-700,000 pound (sekitar RM3.45-4.07 juta).

Jadi, harganya lebih murah dan anda tidak perlu tergesa-gesa membelinya. Tapi, bagaimana ini boleh berlaku? Sebelum ini ramai yang menjangka Aston Martin akan menggunakan enjin V6 3.0 liter dengan sistem hibrid pada Valhalla, tetapi nampaknya pengeluar dari British itu telah berubah fikiran.

Mereka telah mengambil keputusan menggunakan enjin V8 4.0 liter twin turbo yang sebenarnya juga bukan calang-calang kerana mampu menghasilkan 740 hp pada 7,200 rpm. Aston Martin memberitahu, ini adalah enjin buatan khas, tetapi mengetahui kerjasama mereka dengan Mercedes-Benz, ini sebenarnya adalah enjin AMG.

Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

Pergi lebih spesifik, kita mungkin melihat kepada unit V8 yang diambil daripada GT Black Series, kerana enjin V8 Valhalla juga menampilkan flat-plane crankshaft untuk meningkatkan tahap responnya. Walaubagaimanapun, bahagian transmisi adalah berbeza kerana Valhalla mendapat unit klac berkembar lapan kelajuan yang direka khas untuk Aston Martin oleh pembekal Itali, Graziano.

Transmisi ini, bersama limited-slip differential elektronik di belakang menghantar kuasa dari enjin ke roda belakang. Aston Martin tidak berhenti setakat di situ. Disebabkan telah membuat keputusan untuk menjadikan Valhalla sebagai kereta plug-in hybrid pertama Aston Martin, mereka telah meletakkan sepasang motor elektrik untuk membantu enjin V8 tersebut.

Satu daripada motor tersebut diletakkan pada gandar hadapan manakala satu lagi di gandar belakang. Secara gabungan, dua motor elektrik ini boleh menghasilkan 204 PS (201 hp), menjadikan kuasa keseluruhan kereta ini 950 PS (937 hp) dan 1,000 Nm tork.

Sama seperti kebanyakan PHEV, kereta ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sahaja, dengan menggunakan motor yang berada di hadapan. Dalam mod EV, Valhalla boleh mencecah laju maksimum 130 km/j dan jarak gerak sehingga 15 km.

Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

Satu yang berbeza, kedua-dua motor elektrik di belakang, serta enjin V8 itu boleh berjalan secara berasingan untuk memberikan prestasi maksimum. Apabila dikerah sepenuhnya, Valhalla boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat, sebelum mencapai laju maksimum 330 km/j.

Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan jenis push rod dengan penyerap dan spring dipasang secara inboard sementara belakang pula menggunakan tetapan multi-link. Valhalla juga menggunakan spring dua tahap daripada pembekal Kanada, Multimatic, penyerap dengan spool valve adaptif, brek karbon seramik (dengan teknologi brake-by-wire), rim berlainan saiz (20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang), serta tayar Michelin khas.

Pada aspek rekaan, Valhalla masih kelihatan sama seperti model konsep, kecuali dengan beberapa perubahan untuk menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan atas jalan biasa seperti lampu jenis LED matriks serta gril yang sudah menjadi tanda unik Aston Martin.

Lekuk di bahagian tepi juga dikurangkan sedikit, dan dibentuk dengan beberapa bukaan udara untuk meningkatkan lagi daya tekanan ke bawah. Pada bahagian belakang, lubang besar yang menjadi sebahagian daripada diffuser masih lagi ada tetapi dua lubang ekzos yang terletak di atas (dengan injap aktif) kini dijadikan lebih rapat.

Semua ciri aerodinamik pada kereta ini (termasuk yang tidak boleh dilihat di bawah kereta) memainkan peranan penting untuk menghasilkan daya tolakan ke bawah, dengan Aston Martin mendakwa ia boleh mencatat 600 kg pada kelajuan 241 km/j. Aston Martin juga memberitahu mensasarkan berat kurang 1,550 kg serta masa pusingan di Nurburgring bawah enam minit 30 saat.

Buat masa ini kita masih belum dapat melihat bahagian dalam Valhalla dan sekadar boleh menjangka rekaan seperti sebuah kereta lumba. Aston Martin memberitahu, mereka memilih kokpit ringkas yang memberi perhatian kepada ergonomik pemandu, dan masih akan mempunyai sistem infotainmen lengkap, pendingin hawa, kamera belakang dan sistem bantuan pemandu lain.

Bahagian dinamik kenderaan akan terus dibangunkan oleh Aston Martin, bersama Sebastian Vettel, Lance Stroll dan Nico Hulkenburg. Valhalla adalah model ketiga dalam siri kereta enjin di tengah Aston Martin, selepas Valkyrie dan Valkyrie AMR Pro, sementara model yang keempat sedang dibangunkan dan telah ditunjuk awal melalui Vanquish Vision Concept.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required