Industri automotif Malaysia terkesan teruk akibat protokol PKP yang dikenakan oleh kerajaan dalam usahanya untuk mengekang penularan Covid-19. Sektor automotif telah ditutup sejak PKP terbaru ini dilaksanakan bermula Mei lalu, sebelum ia diperketat pada Jun 2021.

Lebih parah, semua bilik pameran kenderaan kekal ditutup di bawah Rancangan Pemulihan Negara (RPN) Fasa 1. Namun, oleh kerana industri ini tidak dikira sebagai “essential”, maka operasi kilang pengeluaran juga digantung, menyebabkan kedua-dua gangguan terhadap pengeluaran dan juga jualan sekaligus. Tidak lupa kepada vendor dan pembekal, jadi keseluruhan eko-sistemnya tidak berfungsi ketika ini.

Ketika keseluruhan rantaian ini terkesan, pengedar menanggung kesan yang paling besar. Sangat mudah untuk difahami. Mereka bergantung kepada jualan dan komisen, dan bila kenderaan tidak boleh dijual, itu bermaksud tiada pendapatan bagi penasihat jualan dan pengedar. Jika mereka boleh beroperasi pun, tidak ada kenderaan untuk dijual kerana kilang pengeluaran tempatan turut sama tidak beroperasi, sementara kereta import sangkut di pelabuhan. Sangat malang situasi ini.

“Semua ahli kami sangat risaukan situasi ketika ini. Kami tak tahu bila bilik pameran boleh dibuka, dan bila kilang boleh kembali beroperasi untuk pemasangan kereta CKD. Ini keresahan kami; banyak pengedar kecil ketika ini sudah tersepit oleh aliran tunai yang ketat dan jika ini berterusan, akan berlaku pembuangan pekerja,” ujar Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad.

“Rangkaian pengedar merupakan pengedar independen dan aliran tunai mereka terhad. Jika tiada jualan, mereka masih ada tanggungan untuk dilangsaikan — sewa, gaji dan sebagainya — tetapi masih tiada sumber pendapatan dalam masa yang sama. Hanya bengkel saja yang boleh beroperasi, itu pun dengan jumlah staf yang terhad. Disebabkan itu, banyak pengedar telah memberikan bayangan sekiranya PKP dilanjutkan, mereka terpaksa gulung tikar daripada industri ini kerana tidak lagi mampu untuk bertahan,” ujarnya.

Kesannya lebih ketara terhadap jurujual. Tidak seperti pekerja dengan gaji bulanan, sebahagian pendapatan besar jurujual adalah dari komisen, dengan gaji asas yang rendah. Selain komisen, insentif dan bonus dari jualan kenderaan, jurujual juga bergantung kepada komisen daripada insurans, aksesori, filem penapis haba dan banyak lagi.

Aishah mendedahkan bahawa MAA, sama seperti industri yang lain, telah menghantar beberapa permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran menjalankan operasi jualan dan pemasangan dengan SOP ketat, dengan sekitar 60% kapasiti staf di bilik pameran dan kilang. Beliau juga merasakan rancangan untuk membolehkan perniagaan beroperasi semula selepas pekerja divaksin adalah sesuatu yang ditunggu.

Tentang bagaimana syarikat automotif boleh membantu pengedar mereka yang sedang terhimpit, Aishah memaklumkan selain memberi kelonggaran dari aspek pembayaran, tidak banyak yang boleh mereka lakukan, memandangkan mereka sendiri berada dalam keadaan sukar.

“Tidak ada apa yang diperoleh oleh pengedar sekarang — kami tak boleh serahkan kenderaan dari kilang dan unit CBU juga tersangkut — pengeluar sendiri dalam keadaan yang tersepit. Pesanan yang kami buat sejak empat bulan lalu masih di pelabuhan, dan kelulusannya sangat perlahan.

“Dari segi bayaran, sebahagian pemegang francais dan OEM cuba memudahkan keadaan pengedar; mereka tidak memaksa pengedar untuk membayar dalam masa segera. Tetapi untuk memerikan bantuan kewangan, saya fikir pengeluar juga sedang berada dalam keadaan sukar ketika ini.

“Jadi kami berharap kerajaan dapat melonggarkan peraturan PKP untuk membolehkan kami terus bernafas, dan boleh mula menjual kenderaan semula agar kami mampu menjana pendapatan. Sebaik sahaja OEM dapat beroperasi, pengedar juga boleh beroperasi. Hal baik yang tersisa ialah pengecualian SST masih diberikan, dan tempahan terus diterima — tetapi kami tak boleh membuat serahan lagi, itu masalahnya,” ujar beliau.

“Perlu diingat, ini tahun kedua kita berdepan dengan situasi seperti sekarang. Tahun pertama, mungkin ramai yang masih boleh bergantung dengan simpanan, tetapi kini itu semua mungkin sudah berkurangan atau habis sama sekali,” jelas Aishah mengulas tentang pengedar yang sedang berdepan dilema untuk menutup perniagaan mereka ketika ini.