Pengecualian cukai jualan yang dinikmati oleh pembeli ketika ini pertama kali diumum pada June 2020 sebagai sebahagian daripada Penjana, pakej rangsangan ekonomi pertama yang diberikan oleh kerajaan untuk menangani kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu. Ia sepatutnya berakhir hujung tahun 2020, namun pada 29 Disember, pengecualian SST berkenaan dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi, hingga 30 Jun 2021.
Pengecualian SST ini — yang melibatkan 100% bagi kereta baru CKD dan 50% baru kereta CBU import — telah diberikan lanjutan enam bulan lagi ketika pakej rangsangan Pemerkasa+ diumumkan pada penghujung Mei. Terkini, tarikh akhir untuk pengecualian SST ini ialah pada 31 Disember 2021.
Tetapi, walaupun pengeculian SST itu bermaksud untuk membantu meningkatkan permintaan terhadap kereta, PKP dan PKPD terbaru yang sedang dijalani ketika ini — terutama di kawasan sekitar kilang pengeluaran kereta dan bilik pameran — memerlukan semua premis berkenaan ditutup, sekaligus menjadikan bantuan itu tidak berkesan. Kini, hampir dua bulan industri automatif di negara ini telah ditutup, dan pengeluar tidak dapat memenuhi tempahan sedia ada.
Untuk menimbal balik situasi itu, Persatuan Automtoif Malaysia (MAA) meminta kerajaan untuk melanjutkan sekali lagi pengecualian SST itu. “Sudah tentu, ahli kami mahukan tempoh pengecualian SST itu dilanjutkan sekiranya keadaan ini berterusan — walaupun kami ada memperoleh tempahan, kami tidak boleh memenuhinya. Jadi apa selepas ini?” ujar Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad dalam sidang media semalam.
“Kami memohon daripada kerajaan agar melanjutkan tempoh tersebut sekiranya situasi PKP ini berterusan dan tidak ditamatkan,” tambah beliau. Berkaitan berapa lama lanjutan tempoh yang diinginkan itu, Aishah memaklumkan tempoh yang sama seperti sekarang adalah cukup baik. “Kali terakhir ia dilanjutkan enam bulan, jadi kami berharap ia boleh dilanjutkan untuk enam bulan lagi,” jawabnya. Jadi, ia akan dilanjutkan hingga Jun 2022 jika diluluskan.
MAA juga telah mengemaskini sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2021 kepada 500,000 unit berbanding angka asal 570,000 unit. Ini kurang 70,000 kenderaan sahaja, dan dengan angka setengah juta pengeluaran dalam keadaan seperti sekarang, itu agak sihat. Ternyata pengecualian SST telah menunjukkan kesannya.
Masalah paling utama yang dihadapi oleh pengeluar kenderaan ketika ini adalah untuk memenuhi tempahan pelanggan. Aishah memaklumkan jumlah pesanan sangat baik, tetapi mereka tidak boleh mengeluarkan kenderaan kerana kilang automotif dipaksa ditutup. “Tempahan sentiasa ada, pengguna tetap ingin membeli kenderaan. Persoalannya, bila kami akan dapat membuat serahan kepada pelanggan sekiranya kilang dan bilik pameran terus ditutup?” ujarnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.