Rentas negeri jika liputan imunisasi capai 90% takkan cetuskan lonjakan kes Covid-19 – Khairy Jamaluddin

Rentas negeri jika liputan imunisasi capai 90% takkan cetuskan lonjakan kes Covid-19 – Khairy Jamaluddin

Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menyatakan bahawa pergerakan rentas negeri akan dibenarkan apabila negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa, hari ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan bahawa ia dijangka tidak akan mengundang gelombang peningkatan kes Covid-19, lapor Berita Harian.

Khairy menyatakan perkara berkenaan dalam sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, dan menjelaskan bahawa sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

Oleh itu, menteri berkenaan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

“Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia. Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

“Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan. Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya.

Keputusan kerajaan bagi membenarkan pergerakan rentas negeri selepas negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berkenaan telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang berlangsung semalam. Sasaran tersebut dijangka mampu dicapai dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja lagi.

Buat masa sekarang Malaysia sudahpun mencapai tahap 80% kadar vaksinasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required