GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

Ada sebuah laporan Berita Harian semalam yang menarik minat pemerhati automotif tempatan. Ia adalah berkenaan pandangan bahawa harga kenderaan dijangka lebih rendah antara satu hingga enam peratus sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus dikenakan semula untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.

Laporan berkenaan memetik pandangan seorang penganalisis RHB Investment Bank, Eddy Do Wey Qing, yang menyatakan bahawa jika mengambil kira GST 6% seperti yang dikenakan pada tahun 2015, sebahagian besar harga model kenderaan di pasaran tempatan susut satu hingga tiga peratus.

“Ketika GST dilaksanakan pada April 2015 menggantikan SST, harga kenderaan secara umumnya turun. Ini disebabkan kaedah pengiraan, kerana GST adalah cukai nilai tambah di mana cukai dibayar pada setiap peringkat transaksi perniagaan, manakala SST dibayar sekali saja oleh pengilang atau pengimport.

GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

“Bagaimanapun, jumlah cukai yang dibayar sebenarnya lebih rendah kerana perbezaan mekanisme tuntutan cukai di bawah GST. Pada dasarnya, kuantum GST akhir ditanggung oleh pengguna berbanding SST yang dibayar oleh pengimport/pengilang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Wey Qing juga berkata, ketika GST dilaksanakan sebelum ini terdapat implikasi terhadap sektor automotif apabila jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) merosot pada April 2015 susulan harga kenderaan pasca GST. “TIV pada Mac 2015 mencecah 67,314 unit disebabkan kebanyakan pengguna membuat pembelian sebelum pelaksanaan GST. “Jika GST dilaksanakan semula, saya berpendapat tidak mungkin pembelian besar-besaran sebelum GST berlaku sekali lagi, melainkan ada kempen dan promosi penjualan pra-GST yang agresif dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah pula berkata, kenaikan atau penurunan harga kereta akan bergantung kepada kadar GST yang dikenakan berbanding kadar SST semasa. Terdapat banyak aspek yang perlu diambil kira, termasuk senarai barang atau komponen yang tidak akan dikenakan cukai serta insentif bagi syarikat yang melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini.

Tambah beliau, ketika GST mula dilaksanakan pada 2015, harga model Proton turun 0.89 hingga 3.25 peratus dan memberi penjimatan kepada pelanggan. Justeru, tegasnya Proton akan menyokong mana-mana sistem pencukaian yang memberi manfaat, kelebihan dan disokong oleh rakyat Malaysia.

GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

“Dari sudut perniagaan, penukaran sistem pencukaian memerlukan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan sistem baru, dan ini akan memakan masa. Namun ia antara set kemahiran diperlukan oleh setiap syarikat yang ingin berjaya. Jika penukaran sistem percukaian kepada GST dapat memastikan industri permotoran lebih kompetitif dan memberi kelebihan kepada pembeli, Proton bersetuju dengan pelaksanaannya,” ujarnya kepada akhbar itu.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad pula berkata, GST adalah lebih baik bagi sektor automotif berbanding SST kerana regim percukaian progresif itu terbukti membolehkan harga kenderaan turun antara tiga hingga enam peratus. “Terserah kepada kerajaan sama ada mahu melaksanakan semula GST atau sebaliknya,” katanya.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan sedang mengkaji untuk memperluaskan asas pendapatan negara termasuk melaksanakan semula GST serta menilai semula pakej insentif cukai untuk mengukuhkannya dan menjadikannya lebih bersasar serta strategik. Kementerian itu akan melakukan beberapa pembaharuan fiskal yang besar untuk mengukuhkan kapasiti pendapatan negara apabila berlaku pandemik dan menyebabkan krisis.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required