Ferrari Portofino M dilancarkan di M’sia; dari RM998k

Ferrari Portofino M dilancarkan di M’sia; dari RM998k

Naza Italia secara rasminya telah pun melancarkan Ferrari Portofino M di Malaysia, genap setahun selepas jentera itu diperkenalkan di peringkat global. Jentera mewah ini dijual pada harga dari RM998,000 (sebelum cukai, pilihan kustom, dan insurans). Malah harganya adalah lebih RM50k berbanding Portofino ketika ia dilancarkan di Malaysia pada tahun 2018.

Menurut Ferrari, huruf M membawa maksud ‘Modificata’, iaitu terma yang “digunakan untuk kereta yang mengalami evolusi yang dipertingkatkan prestasi yang ketara”. Di mana peningkatan prestasi ini disumbangkan oleh kombinasi penjana kuasa dan drivetrain yang agak berbeza dengan apa yang diberikan pada Roma.

Pembaharuan yang dibuat untuk Portofino M termasuklah diberikan padanan bampar hadapan baharu, yang menampilkan corong sisi yang direka semula dan juga pertambahan corong pengambilan udara baharu pada gerbang roda untuk meningkatkan penjimatan aero dinamik. Corong tersebut juga memberikan bonus untuk imejnya, malah memberikan aliran udara yang lebih baik untuk bahagian sisi.

Manakala padanan gril yang dipertingkatkan itu juga telah dihadirkan dengan kepingan aluminium baharu. 2+2 GT ini juga menerima kemasan spesifik-berlian, rekaan roda lima-jejari baharu yang dibaluti tayar 245/35 di hadapan dan 285/30 di belakang.

Untuk bahagian belakangnya, ia menampilkan bampar baharu yang telah diprofilkan semula dengan konfigurasi sistem ekzos baharu. Selain itu, diffuser belakang juga kini diasingkan daripada bampar, untuk memberikan imej yang lebih menyerlah pada bahagian belakang. Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada bumbung retractable hard top, yang masih boleh dibuka dan ditutup dalam 14 saat.

Mengenai penjana kuasa dan drivetrain, enjin 3.9 liter F154 BB twin-turbo V8 pada Portofino telah diberikan modifikasi, membawanya ke spesifikasi BE. Kuasanya dipertingkatkan menjadi 620 PS (611 hp) pada 5,750 hingga 7,500 rpm, di mana ia lebih 20 PS (atau 19 hp) berbanding sebeluum ini, mirip pada Roma. Manakala tujahan tork masih kekal pada 760 Nm dari 3,000 hingga 5,750 rpm.

Menurut Ferrari, penambahan kuasa adalah hasil cam profile baharu untuk meningkatkan anjakan injap dan mengoptimakan pengisian ruang pembakaran dan juga penderia kelajuan ke unit pengecas turbo, di mana ia membolehkan anjakan rpm ke turbin secara maksimum ditambah.

Peningkatan penjana kuasa ini turut dipadankan dengan kotak gear baharu – yang sebelum ini dengan padanan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan yang kini digantikan dengan unit dwi-klac lapan-kelajuan. Unit ini pertama kali diberikan pada model Roma, berasal dari unit SF90 Stradale lapan-kelajuan, tetapi mempunyai mekanikal gear undur dan nisbah gear yang lebih panjang.

Selain itu, suis manettino telah menerima mod kelima, iaitu tatapan Race, dan sistem brek juga dipertingkatkan, dengan tekanan pedal brek yang dapat diubah dan 10% pengurangan pada brek bagi menghasilkan tindak balas yang lebih cepat dan tepat terhadap input brek.

Manakala untuk sistem ekzos baharu, perubahan termasuklah geometri baharu untuk keseluruhan jajaran ekzos, di mana ia telah ‘membuang’ dua peredam belakang pada Portofino. Dengan ketiadaan komponen terbabit, ia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan belakang pada paip ekzos, bahkan menambahbaik bunyi pada sistem tersebut. Sebagai tambahan, injap pintasan baharu diberikan bagi meningkatkan lagi aliran bunyi ekzos.

Bahagian kabin Portofino M pula tiada perubahan, masih sama seperti sebelum ini. Kluster instrumen dengan dua paparan TFT masih berada di tempat yang sama seperti sebelum ini. Begitu juga dengan sistem infotainmen dan skrin sesentuh sentral 10.25-inci serta sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

Namun terdapat beberapa ciri baharu yang diberikan termasuklah pengudaraan dan tempat duduk dengan fungsi haba, dan elemen tambahan terkini yang paling besar melibatkan komponen bantuan pemanduan dan keselamatan bagi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), yang ditawarkan secara pilihan.

Ia menambahkan ciri yang sebelum ini tidak ada seperti kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop&Go, sistem brek kecemasan ramalan (juga dikenali sebagai amaran pelanggaran hadapan dan AEB), pemantauan titik buta, amaran ketibaan lorong, kepekaan lintasan trafik belakang, pengesan isyarat trafik, lampu tinggi automatik dan kamera pandangan sekeliling 3D.

Bercakap mengenai ADAS, pek tersebut ada pada unit yang dipamerkan di Naza Ferrari, Petaling Jaya, yang merupakan unit pemanduan sebelah kiri (LHD) dengan kemasan luaran Grigio Alloy. Ia turut hadir dengan beberapa ciri spesifik yang didatangkan bersama kos tambahan, termasuklah kaliper brek hitam berkilat, gril sutera/hitam pekat dan lampu utama adaptif dengan fungsi lampu static bending hinggalah ke sistem pemanas leher, tempat duduk elektrik dan juga suspensi dwi-mod Magneride.

Harga yang ditawarkan adalah RM998k bagi model asas, yang didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama Xenon dan brek seramik karbon. Menurut Naza Italia, jentera pertama untuk pembeli di Malaysia bakal sampai pada tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required