Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

Portofino adalah nama sebuah pekan tepi laut di Itali, dengan bentangan suasana penuh indah, damai dan menguja. Melihat akan keunikan pekan tersebut, maka pengeluar jentera prestasi tinggi terkemuka dunia, Ferrari, mengabadikan nama tersebut buat model terbaharu mereka, Ferrari Portofino.

Pertama kali ditampilkan di khalayak dunia di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu, hari ini Naza Italia Sdn Bhd telah memperkenalkannya di Malaysia pula. Pengganti bagi California T, Portofino meneruskan kesinambungan sebagai model V8 bumbung boleh buka (convertible) untuk terus menawan pasaran dunia. Malah Ferrari menyakini dunia automotif bahawa Portofino merupakan model convertible yang paling berprestasi di bawah segmennya.

Ferrari Portofino dijanakan oleh enjin V8 3.9 liter twin-turbo yang telah dipertingkatkan dengan piston dan conrod baharu, serta sistem ekzos dan pemasukan udara yang direka semula. Bagi sistem ekzos, bahagian header kini diacu sebagai satu unit, dan ia dapat membantu mengurangkan kelambatan pada tekanan turbo.

Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

Dengan peningkatan ini, Portofino dapat memberi pecutan lebih pantas dalam semua gear, bersama sistem Variable Boost Management yang dapat melaras penyampaian tork bergantung kepada gear yang dipilih. Malah kuasa keseluruhannya juga telah dipertingkatkan sebanyak 40 hp, kini menjadi 600 hp pada 7,500 rpm dan 760 Nm tork antara 3,000 hingga 5,250 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan.

Ferrari juga mendakwa penggunaan bahan api menjadi lebih baik iaitu 10.5 l/100 km. Jentera ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat dan kelajuan maksimum yang dicapai sehingga 320 km/j.

Ferrari Portofino juga dimantapkan dengan electronic differential generasi ketiga (E-Diff3), yang sebelum ini pertama kali digunakan pada model 458 Italia, di mana ia disepadukan di dalam sistem F1-Trac untuk meningkatkan cengkaman mekanikal dan kawalan.

Turut diperkenalkan buat pertama kali pada Ferrari GT adalah sistem stereng kuasa elektrik, yang bekerja dengan E-Diff3 untuk mengekalkan stabiliti, meskipun mempunyai nisbah stereng 7% lebih laju. Penyerap SCM-E magnetorheological juga telah dinaik taraf dengan perkadaran lebih tinggi dan penggunaan sistem dual-coil untuk mengurangkan olengan serta memperbaiki penyerapan hentakan.

Menurut Ferrari, walau pun dengan penambahan ini, Portofino masih lebih ringan berbanding California T hasil penggunaan teknologi pengeluaran yang moden. Semua bahagian casis dan komponen badan telah direka semula dengan fokus untuk mengurangkan berat namun tetap tegar.

Pada bahagian dalam, kabin Portofino seakan imbasan terhadap model GTC4Lusso, ia dilengkapi dengan skrin sesentuh 10.2-inci untuk sistem hiburan dan informasi, dan satu lagi skrin berhadapan penumpang hadapan. Rekaan roda stereng pelbagai fungsinya juga adalah baharu, bersama dengan penyandar belakang tempat duduknya yang dapat memberi lebih ruang di bahagian belakang.

Keselesaan turut diperbaiki dengan adanya sistem pendingin hawa baharu lebih berprestasi, tidak kira sama bumbung ditutup atau dibuka. Penambahan penepis angin baru juga berjaya mengurangkan bunyi udara dan menurunkan kadar kitaran udara dalam kabin sebanyak 30% apabila bumbung dibuka. Malah bumbungnya boleh dibuka dan ditutup lebih pantas, sekitar 14 saat, ketika jentera sedang dipandu perlahan, menjadikan ia layak dijadikan sebagai pengangkutan harian bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi pasaran Malaysia, Ferrari Portofino ini ditawarkan dengan harga asas RM948,000, tidak termasuk cukai dan pilihan kustom.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required