Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia – dari RM968k

Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia –  dari RM968k

Ferrari Roma telah pun diperkenalkan secara rasminya di peringkat global pada November 2019. Jentera prestasi tinggi serba baharu ini merupakan peralihan penawaran Ferrari daripada model-model sedia ada sebelum ini. Malah reka bentuknya diilhamkan dengan sentuhan klasik bersama bancuhan moden yang masih mengekalkan sisi kemewahan dan serba bergaya. Roma pula merupakan ibu kota yang terbesar di Itali, mendorong Ferrari untuk menggunakan nama tersebut pada model terbaharunya.

Beruntungnya Malaysia kerana menjadi salah satu negara di rantau Asia yang turut menerima kehadiran model coupe ini. Malah Naza Italia, pengedar dan pengimport rasmi Ferrari di sini sedang menayangkan model pra-produksi Roma secara eksklusif di bilik pamerannya di Platinum Walk, Kuala Lumpur sehingga 29 Jun ini ini.

Model coupe ini dijanakan oleh enjin F154 3.9 liter turbocas berkembar dari Portofino, dengan tambahan kuasa sebanyak 20 PS, menjadi 620 PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan tork 760 Nm antara 3,000 dan 5,750 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan dwi-klac dari Stradale.

Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia –  dari RM968k

Dengan berat 1,472 kg – 200 kg lebih ringan berbanding Portofino – Roma mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dengan laju 200 km/j yang boleh dicapai dalam masa 9.3 saat serta kelajuan maksimum pula mencecah 320 km/j.

Roma memiliki dimensi 4,656 mm panjang, selebar 1,974 mm, berketinggian 1,301 mm dan jarak roda 2,670 mm. Ia ditampilkan dengan tempat duduk 2+ bersama sedikit ruang di belakang untuk meletak barang atau mampu memuatkan penumpang bertubuh kecil mahu pun kanak-kanak. Manakala ruang butnya berkapasiti 272 liter.

Jentera ini ditampilkan dengan karakteristik yang lebih kemas dengan rekaan yang cukup harmoni dan elegan, hasil inspirasi daripada model ikonik 250 GT Berlinetta lusso dan 250 GT 2+2. Ia banyak meminjam bayangan imej model grand tourer Ferrari buatan tahun 60-an.

Setiap garisan sudutnya menampilkan rekaan yang cukup ekstrem dan mementingkan nilai estetika, dalam masa yang sama masih mengekalkan sentuhan sporty walau pun sedikit ‘keterlaluan’ daripada pandangan sisi dengan bahagian hadapan yang tirus membawa ke membonjol di pertengahan bonet hadapan sehingga ke melunjur ke belakang.

Untuk bahagian hadapannya, imejnya meminjam elemen daripada Monza SP1 dan SP2, dengan jaluran lampu utama Matrix LED ditampilkan bersama lampu nyalaan siang melintang, mengapit rekaan gril yang besar. Garis bumbungnya juga kelihatan rendah, beralun dan bergaya yang boleh dilihat terus dilanjutkan ke belakang serta lengkung tayar.

Manakala rekaan belakangnya juga menggunakan lampu rekaan rata dan bukannya berbentuk bulat. Imej “garang” bahagian belakang dilengkapi dengan rekaan diffuser besar dengan corong ekzos berkembar. Kemasan gentian karbon diberikan sedikit pada bahagian bawah bampar walau pun tidak begitu menonjol tetapi masih memberikan sentuhan mewah.

Satu elemen menarik yang ditonjolkan di bahagian belakang dengan adanya spoiler yang mampu digerakkan dengan tiga posisi berbeza; Low Drag, Medium Downforce, dan High Downforce dengan setiap satunya memiliki fungsi pergerakan tertentu bagi pengaliran udara ketika jentera sedang dipacu mengikut kelajuan.

Menjengah bahagian kabinnya, konsep dwi kokpit diperkenalkan memberikan evolusi terkini bagi jentera Ferrari. Roma hadir dengan struktur simetri pada hampir segenap sudut. Skrin sesentuh HD 8.4-inci umpama tablet di bahagian tengah papan pemuka bersaiz sedikit kecil. Roma juga hadir dengan butang kawalan digantikan dengan butang digital atau kawalan sesentuh, menampakkan gaya yang lebih terkini. Ini termasuklah butang kawalan digital pada roda stereng. Tiada lagi butang kawalan konvensional seperti sebelum ini.

Bukan itu sahaja, kawalan tuil gear yang klasik bersama shifter manual juga merupakan antara elemen menarik bagi kabin Roma. Malah paparan instrumen HD 6-inci dan butang penghidup enjin digital turut ditampilkan. Sebenarnya ruang dalaman terutamanya papan pemuka Roma dibentangkan secara ringkas, tidak sarat dengan pelbagai ciri yang futuristik. Walau bagaimana pun bentangan papan pemukanya direka bagaikan sambungan sehingga ke tempat duduk belakang, merentangi panel pintu dan juga tunnel di bahagian tengah.

Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia –  dari RM968k

Menambahkan elemen penuh kemewahan dengan pemilihan material eksklusif termasuk balutan kulit Frau®, Alcantara, aluminium krom dan gentian karbon. Hasilnya pasti memberikan gaya yang lebih sofistikated dan mampu menepati citarasa pemiliknya. Apatah lagi dengan jentera V8 2+ baharu ini yang menterjemahkan konsep keseluruhan “La Nuova Dolce Vita” yang bererti “kehidupan yang lebih baik”.

Untuk jentera ini juga, Ferrari turut memperkenalkan sistem pilihan ADAS (SAE Level 1) yang merangkumi Kawalan Kelajuan Adaptif, Brek Kecemasan Sendiri, Amaran Penukaran Lorong dengan Pengesan Isyarat Trafik, Pengesan Titik Buta dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang dan Kamera Pandangan Sekeliling.

Ferrari Roma ditawarkan dengan harga bermula RM968,000 (tanpa insurans, cukai dan pilihan customization) dan turut hadir dengan waranti penyelenggaran selama tujuh-tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required