Turut disentuh dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) semalam adalah rancangan untuk menstruktur semula model pembangunan lebuhraya di negara ini.

Menurut pelan tersebut, penstrukturan semula ini disasarkan untuk mengurangkan risiko kepada kerajaan disamping membolehkan pihak konsesi menguruskan operasi dan penyelenggaraan lebuhraya, dan dalam masa sama membolehkan janaan pendapatan yang adil daripada kutipan tol yang dikenakan.

Di pertimbangkan kaedahnya tahun lalu, Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya 2030 (HNDP 2030) dihasilkan untuk mewujudkan sebuah “pelan menyeluruh yang komprehensif dan sistematik” bagi naik taraf dan pembinaan jalan baru, dan pelan ini turut bertindak sebagai rujukan bagi pembinaan di peringkat persekutuan, negeri dan setempat.

Kerajaan akan turut meneroka pilihan yang ada untuk memastikan keberdayaan projek lebuhraya sedia ada. HNDP 2030 juga akan mempunyai peruntukan terhadap “mekanisme bagi mendahulukan lebuhraya baru dan pilihan dana tersedia.”

RMK-12 juga menyediakan laporan perkembangan ringkas pembinaan lebuhraya sedia ada di negara ini. Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Bentong, Pahang dan Kuala Krai Kelantan berada dalam 58.2% siap setakat penghujung 2020,dan pembinaan baki jajaran laluannya dijangka akan selesai pada 2025.

Pembinaan lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) di Kelantan juga sedang dijalankan secara berperingkat, dengan dua daripada lapan sub-pakej dari Pasir Hor ke Ketereh telah siap pada 2019. erkembangan kerja-kerja di KBKK berada pada tahap 38% setakat penghujung 2020, dengan baki jajaran dari Ketereh ke Kuala Krai dijangka siap menjelang 2025.

Kerja awal di Lebuhraya Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) dimulakan pada 2020, dan dijangka siap pada suku kedua 2022. LPT 3 akan menghubungkan Gemuruh, Terengganu ke Tok Bali, Kelantan.

Di Malaysia Timur, perkembangan Lebuhraya Pan Borneo Sabah berada pada tahap 44% pada penghujung 2020, dan baki 281 km laluan itu dijangka siap menjelang 2024. Sementara itu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Miri sudah 59.4% siap setakat hujung 2020, dan dijangka dibuka menjelang 2022.

Untuk kawasan Lembah Klang, lima lebuhraya sedang dalam pembinaan; ini termasuk Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH), East Klang Valley Expressway (EKVE), Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dan Putrajaya-KLIA Expressway (MEX 2). Semuanya dijadualkan siap pada suku keempat 2021. Sementara itu, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak dijangka siap pada 2024.