Teknologi hibrid range extender e-Power dari Nissan kini diimplementasikan pada satu lagi modelnya, kali ini ia tampil dalam sedan segmen-C, Sylphy pasaran China yang juga kini sedan paling laris di negara berkenaan.
Secara asasnya teknology e-Power Nissan ini berfungsi seakan “generator pasar malam”, di mana enjin petrol yang dibekalkan berfungsi semata-mata untuk mengecaj bateri, manakala tayar hadapan hanya dipacu oleh motor elektrik dengan tork 300 Nm.
Sistem yang dibekalkan pada Sylphy ini adalah teknologi generasi kedua e-Power, dan menurut Nissan ia memberikan pecutan yang responsif, nyah pecut yang lancar serta kabin yang senyap setara dengan kereta elektrik sepenuhnya.
Buat masa sekarang Nissan masih belum mengumumkan sepenuhnya perincian teknikal Sylphy e-Power ini, namun menyatakan bahawa ia mampu mencapai penggunaan bahan api 3.9 liter untuk setiap 100 km berdasarkan standard ujian di China. Ia juga datang dengan lima mod pemanduan yang menawarkan kitaran antara kadar efisien maksimum atau prestasi penuh.
“Pelancaran Nissan e-Power Sylphy di China melambangkan kesungguhan Nissan untuk memperkenalkan teknologi tercanggih dalam pasaran utama, bagi mempercepatkan visi syarikat terhadap mobiliti elektrifikasi dan sasaran pencapaian neutal karbon China,” kata naib presiden Dongfeng Motor dan pengarah urusan Dongfeng Nissan Passenger Vehicle Company, Takeshi Yamaguchi.
“e-Power direka bagi memberikan pengalaman pemanduan baharu sepenuhnya kepada pelanggan di China bagi mereka mengejar untuk mobiliti berkualiti tinggi dalam era elektrifikasi,” tambahnya lagi.
Teknologi e-Power ini telah diperkenalkan buat pertama kali di Jepun menerusi Nissan Note pada 2016, dengan jualan kumulatif yang sudahpun mencecah angka 500,000 pada Mac 2021.
Di China, Nissan menjangkakan teknologi ini akan menyumbang kepada rancangan pembangunan mampan kerajaan negara berkenaan, dan selari dengan sasaran global Nissan bagi mencapai status neutral karbon bagi seluruh operasinya menjelang 2050.
Menjelang awal era 2030, kesemua model baharu Nissan yang ditawarkan pada pasaran-pasaran utama akan dilengkapi teknologi elektrifikasi. Selepas ini enam lagi model e-Power dirancang akan diperkenalkan di China sehingga 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
is this the same concept hybrid system as the current honda city hybrid?