Jaminan merupakan aspek penting dalam pengalaman pemilikan kenderaan. Ia memberi jaminan kepada pembeli, dan melegakan fikiran mereka sekiranya berlaku apa-apa masalah teknikal — pengeluar sendiri akan bertanggungjawab dan menyelesaikan permasalahan itu, sekiranya ada.

Namun, untuk menjadikan waranti itu sah, kereta perlu dihantar untuk servis di pusat servis rasmi sahaja sepanjang tempoh waranti. Menurut pengeluar, ini penting untuk memastikan kereta berada dalam keadaan standard dari kilang, dan tidak berlaku sebarang ubah suai sendiri yang mungkin menjadi penyebab kepada masalah berlaku — ini boleh membatalkan waranti terbabit.

Kekurangan hal ini pula ialah pelanggan “tersangkut” untuk menghantar kereta ke rangkaian rasmi pengeluar sahaja. Tidak hanya untuk servis, malahan untuk baik pulih kemalangan, sesuatu yang menurut Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengekang persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan itu.

Dalam Market Review Under Competition Act 2010 for Selected Transportation Sectors terbaru, yang diumumkan semalam, suruhanjaya itu menyatakan ia mengesan masalah berkaitan persaingan, serta kerisauan pasaran atau masalah kawal selia berkaitan tuntutan waranti kenderaan. Ia memaklumkan, sekatan yang dikenakan oleh pengeluar kenderaan itu boleh mengelak atau menghadkan persaingan dalam industri baik pulih dan servis kenderaan.

Dari segi servis, ulasan itu menyatakan klausa khas dalam waranti kenderaan baru itu berpotensi menjurus kepada pasaran disudutkan hanya kepada francais (3S/4S) atau bengkel sah dalam rangkaian pengeluar kenderaan sahaja. Ini mengurangkan pilihan pengguna dan mengelakkan persaingan daripada bengkel persendirian.

Situasinya jadi lebih teruk ketika melibatkan baik pulih kemalangan. Disebabkan sekaran waranti, pembaik pulih persendirian berdepan dengan halangan yang membolehkan mereka untuk melakukan baik pulih kenderaan baru yang masih di bawah waranti, menjadikan satu-satunya pilihan yang ada hanyalah dalam rangkaian pengeluar sahaja.

Ia menjadikan PIAM Approved Repairers Scheme (PARS) sebagai contoh. Bagi baik pulih kemalangan, OEM membenarkan pemilik untuk menghantar kereta mereka ke bengkel PARS yang dilantik PIAM, di mana kerja-kerja baik pulih hanya bagi yang berkaitan kemalangan. Bengkel perlu menepati kriteria seperti standard servis, kualiti, profesionalism, berdaya saing dan kemahiran yang memiliki tahap pelaburan kapital cukup besar sebelum layak menerima sijil PARS.

Memandangkan bengkel PARS adalah setanding dalam segala aspek berbanding bengkel francais, pelanggan sepatutnya bebas untuk memilih bengkel mana yang mereka mahu. Tetapi, ini bukanlah amalannya, jelas suruhanjaya dalam ulasan berkenaan.

MyCC mendapati sesetengah pengeluar kenderaan dan sesetengah syarikat insurans telah membuat persetujuan dan usahasama dan menetapkan set KPI yang perlu dipatuhi oleh syarikat insurans dengan cara mengarahkan sejumlah kereta baru yang diinsuranskan ke bengkel francais. Suruhanjaya itu juga menambah, disebabkan KPI dari persetujuan itu, syarikat insurans boleh melebihkan usaha untuk menggalakkan pelanggan mendapatkan servis dari bengkel francais.

Dalam kes di mana pemilik memilih menghantar kereta baru mereka ke cawangan PARS (atau bengkel persendirian), ada berlaku situasi pelanggan diminta untuk menandatangani surat pelepasan. Dalam surat ini, dinyatakan bahawa pemilik kenderaan sedar bahawa mereka sedang mendapatkan servis dari bengkel persendirian, dan keseluruhan waranti kenderaan akan terbatal disebabkan itu.

MyCC berkata, ini akan memberi tekanan kepada pemilik kenderaan untuk hanya mendapatkan servis dari bengkel dalam rangkaian rasmi sahaja. Untuk ini, suruhanjaya terbabit mencadangkan lapan cadangan untuk dirasakan dapat merancakkan persaingan dalam pasaran waranti kenderaan ini.

Antara cadangan utama termasuk menilai semula klausa waranti semasa yang mengecilkan pilihan pelanggan. Ia menambah pihaknya sedang mendapatkan pihak berkepentingan berkaitan untuk berurusan dengan pengeluar kendearan bagi menggalakkan mereka untuk mencabut keluar klausa waranti seperti yang dimaksudkan itu dan tidak menjadikan syarat waranti untuk servis dan baik pulih kenderaan hanya dalam rangkaian mereka sahaja.

Suruhanjaya itu menyatakan, campur tangan di dalam pasaran berkaitan waranti kenderaan akan memberikan lebih banyak manfaat, membukanya untuk persaingan sihat, dan seterusnya menguntungkan pengguna. Sejauh mana perubahan yang dapat dicapai berkaitan ini hanya masa yang akan menentukan. Apa pula pandangan anda?