Lexus Malaysia kini memperkenalkan secara rasmi model Lexus ES 2022 facelift untuk pasaran tempatan — dan ini merupakan kali pertama model berkenaan ditawarkan dalam tingkat kemasan F Sport.

Varian Lexus ES 2022 ini bermula dengan Premium pada harga RM295,663, diikuti ES 250 Luxury dengan tanda harga RM329,910, sementara versi F Sport dijual dengan harga RM345,134. Semua harga atas jalan tidak termasuk insurans, tetapi dengan pengecualian 50% SST bagi kereta CBU hingga hujung tahun ini.

Model generasi ketujuh ini diperkenalkan di sini pada September 2019, dengan penampilan yang paling menonjol pernah ES miliki setakat ini sejak nama model ini mula diperkenalkan pada tahun 1989. Berbanding model ES generasi sebelumnya, versi yang terkini adalah 66 mm lebih panjang dan 46 mm lebih lebar, dengan jarak antara roda yang 51 mm lebih panjang. Jejak keseluruhan yang lebih besar serta kedudukan yang 5 mm lebih rendah menyumbang kepada imej sporty.

Semua ini boleh dicapai melalui platform Global Architecture K (GA-K) yang digunakan. Ini versi Lexus apa yang untuk Toyota dikenali sebagai Toyota New Global Architecture (TNGA). Perbezaan yang terlibat bagi model facelift 2022 ini lebih banyak terarah kepada perinciannya. Rekaan spindle grille baru antara yang ketara, dan membezakan dengan versi lamanya.

Itu menjadi gril standard bagi varian Premium dan Luxury. Varian F Sport pula didatangkan dengan corak L bersilang yang khusus untuknya dengan penyudah metalik hitam. Terdapat juga perubahan kecil pada lampu utama. Untuk ES 250 Premium, unit projektor bi-LED diberikan rekaan dalaman baru. Sementara bagi lampu utama projektor LED tiga-tahap kompak pada ES 250 Luxury dan F Sport menerima DRL LED baru.

Ada dua warna baru turut diperkenalkan, iaitu Sonic Iridium dan Sonic Chrome. Ini disertai oleh pilihan warna sedia ada — Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic dan Deep Blue Mica.

F Sport boleh dipilih dalam dua warna eksekutif; Heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake (dalam gambar), sebagai tambahan kepada pilihan standard yang ada, kecuali warna Ice Ecru Mica Metallic dan Deep Blue Mica.

Varian paling sporty ini juga menerima spoiler belakang, perumah lampu belakang gelap, lencana F Sport di fender depan serta rim 19-inci (tayar 235/40) dalam warna Dark Premium Metallic. Bagi Premium dan Luxury, ia kekal dengan rim 18-inci (tayar 235/45) — satu dengan rekaan multi-jejari dalam Dark Grey Metallic, dan satu lagi dengan rekaan gaya turbin dalam warna Hyper Chrome Metallic.

ES kini datangde dengan warna dalaman balutan kerusi coklat gelap dengan kemasan kayu Walnut Brown. Pada Luxury, ia melibatkan tambahan beberapa tona berbeza dikenali sebagai Mauve, dengan kemasan Walnut Black. Bagi F Sport pula, ia datang dengan tema merah dan hitam, beserta kemasan aluminium — tema ini eksklusif untuk F Sport sahaja, namun pilihan untuk tema hitam keseluruhan turut ditawarkan.

Lexus telah mempertingkatkan sistem infotainmen, dengan matlamat agar lebih mudah dikendalikan. Paparan 12.3-inci yang ada kini skrin sentuh (8.0-inci untuk Premium) dan ia kini 112 mm lebih dekat dengan penumpang dan disudutkan lima-darjah lebih condong ke arah pemandu. Sistem berkenaan — yang ada tunjuk arah bagi Luxury dan F Sport — boleh juga dikawal dengan Remote Touch Pad berdekatan tuil gear. Semua slot USB dalam ES kini berjenis Type C.

Ada lagi keunikan F Sport. Pakejnya termasuk kerusi sport; stereng dengan balutan kulit berliang selain kemasan kayu, jahitan merah dan lencana F Sport; tombol gear yang sepadan serta pedal aluminium. Jam analog di sebelah skrin sentuh juga memiliki dail berbeza.

F Sport juga menampilkan meter boleh alih. Pertama kali digunakan pada supercar LFA, dail utama yang boleh beralih kedudukan ini pernah ditampilkan juga pada varian F Sport sebelum ini juga. Di dalam gelung paparan tersebut, grafik yang ditampilkan juga berubah mengikut mod pemanduan.

Apa yang masih kekal ialah enjinnya; Lexus ES 250 menggunakan unit 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder, menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 247 Nm tork pada 5,000 rpm.Unit suntikan terus A25A-FKS ini digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Direct Shift yang menghantar kuasa ke roda depan. Paddle Shifter adalah standard. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.1 saat dengan laju maksimum 210 km/j. Mod Eco, Normal dan Sport juga tersedia.

Suspensi ES terdiri daripada jenis MacPherson Strut di depan dan double wishbone di belakang. Walaupun ini masih sama, Lexus menjelaskan bahawa keselesaan dan pengendalian telah dipertingkat dengan menambah kekerasan di belakang — melibatkan pertambahan pendakap. Luxury dan F Sport juga menerima penyerap hentak prestasi.

Ditawarkan standard untuk semua varian ES ialah Lexus Safety System+ (LSS+). Versi terkininya menyaksikan Sistem Pra-Perlanggaran (PCS atau AEB) dipertingkat dengan pengesanan pengayuh waktu siang oleh kedua-dua radar gelombang-milimeter dan sensor kamera monokular. Pengesanan pejalan kaki dalam sesetengah keadaan pencahayaan rendah turut telah dipertingkat dengan menaikkan sensitiviti kamera dan jarak dinamik.

Lain-lain elemen LSS+ termasuk Kawalan Melayar Radar Dynamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go; Bantuan Mengekalkan Lorong; Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA); serta Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS), yang juga datang dengan teknologi BladeScan. Turut ada teknologi lampu yang dikenali sebagai Sistem Pencahayaan Depan Adaptif (AFS).

Harga bagi Premium dan Luxury juga beberapa ribu ringgit lebih rendah berbanding model sama yang diperkenalkan pada 2019, walaupun datang dengan pelbagai peningkatan. Ini menjadi satu daripada daya tarikannya ketika ini. Lexus ES 250 terbaru ini akan berada di semua bilik pameran Lexus bermula 31 Oktober ini, dan tempahan mula dibuka hari ini.

Lexus ES 250 F Sport 2022

Lexus ES 250 Luxury 2022