Bulan lalu, Hyundai Palisade dikesan sedang dinaikkan atas sebuah treler. Baru-baru ini juga, SUV tersebut kelihatan sekali lagi, di Sime Darby Motors City, Ara Damansara dan fotonya dirakamkan oleh pembaca Edward Koh.
Seperti yang pernah kami khabarkan sebelum ini, Palisade bakal memasuki pasaran Malaysia, selepas perkara ini diumumkan sendiri oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada Mac lalu. Malah kemungkinan ia bakal dilancarkan sebelum 2021 melabuhkan tirainya. Jika benar, nampak gayanya tiga bulan berturut-turut HSDM memperkenalkan model baharu iaitu MPV mewah Staria yang dilancarkan pada Oktober lalu, diikuti dengan Kona Electric yang secara rasmi berada di pasaran bulan ini.
Palisade merupakan model SUV tiga baris tempat duduk mewah yang pertama kali didedahkan pada tahun 2018, dan bergantung kepada spesifikasi, ia boleh menempatkan sehingga tujuh atau lapan orang. Ia lebih besar berbanding Santa Fe, dengan ukuran panjang 4,981 mm, 1,976 mm lebar dan jarak roda 2,900 mm.
Menurut HSDM, SUV yang bakal dibawa masuk dari Korea Selatan ini akan ditawarkan dengan enjin 3.8 liter naturally aspirated V6, dengan hamburan kuasa mencecah 291 hp dan tork 355 Nm, dan unit suntikan-terus Atkinson-cycle ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan HTRAC AWD.
Antara ciri yang dijangka akan ditampilkan untuk pasaran kita termasuklah roda 20-inci, kluster instrumen TFT digital 12.3-inci, sistem infotainmen Display Audio 10.25-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, unit CBU ini juga mungkin akan dilengkapi dengan tempat duduk dengan ventilasi, dua bumbung suria, pengecas tanpa wayar, kawalan suhu tiga-zon dengan ioniser serta ciri keselamatan SmartSense ADAS.
Palisade juga telah menembusi pasaran Indonesia, dengan penawaran enjin 2.2 liter CRDi diesel berkuasa 200 PS dan 441 Nm. Pembeli di republik berkenaan boleh memilih tiga versi kemasan, dengan harga antara RM223k hingga RM309k.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.