Selepas dilancarkan di Taiwan September lalu, Toyota Corolla Cross GR Sport kini memasuki pula pasaran Thailand. Secara keseluruhannya, sebanyak 27,794 unit Corolla Cross biasa telah terjual di Thailand – satu jumlah yang dikatakan oleh Toyota sebagai paling banyak dalam segmen B – dan penambahan model GR Sport ini akan meluaskan lagi tarikannya kepada pelanggan.
Seperti yang dijangka, varian yang lebih sporty ini diletakkan sebagai varian paling tinggi, dengan tambahan harga 50,000 baht (RM6,200) berbanding varian HEV Premium Safety yang berharga 1,240,500 baht (RM154,700). Penggerak yang digunakan adalah gabungan enjin petrol 1.8 liter serta motor elektrik untuk menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan 122 PS. Penggunaan bahan api berada pada kadar 23.3 km/l.
Kit badan GR Sport pada model yang dijual di Thailand ini adalah sama sahaja seperti model yang diperkenalkan di Taiwan, dan ia tertumpu kepada bahagian depan dengan penggunaan seperti gril baru dengan jalur melintang serta kemasan hitam berkilat yang bersambung ke lampu. Bampar kelihatan lebih agresif dan mempunyai skid plate yang lebih tegap.
Skirt tepi dan bampar belakang juga mempunyai kemasan skid plate yang sama, sementara lampu LED belakang menggunakan jenis lutsinar. Melengkapkan perubahan luar adalah bumbung warna hitam serta rekaan rim 18 inci khas. Di dalam, anda akan mendapat tempat duduk balutan kulit dengan jalur putih di tengah serta sulaman GR pada penyandar kepala, tombol gear balutan kulit, kemasan hitam serta lencana GR.
Turut disertakan adalah sedikit penambah baikan casis, di mana stereng ditala semula dan dipasang strut bar bawah. Akhir sekali, model GR Sport ini menerima fungsi gerak dan henti kelajuan rendah untuk Adaptive Cruise Control – satu ciri yang juga telah dinaik taraf pada varian HEV Premium Safety.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Bila masuk Malaysia?