Mei lalu, sayao sukan permotoran Mitsubishi iaitu Ralliart diumumkan akan dihidupkan semula – bukan sahaja untuk menyertai semula perlumbaan, malah turut dirancang untuk menghasilkan semula peralatan prestasi untuk jenama tiga berlian berkenaan.
Kemudian pada bulan November, dua model dengan lencana Ralliart – Pajero Sport dan Triton – telah dilancarkan di Thailand. Dan kini, Ralliart diumumkan akan kembali ke Tokyo Auto Salon tahun hadapan yang berlangsung pada 14-16 Januari 2022!
Mitsubishi Motors Corporation (MMC) menyatakan bahawa mereka akan membawa “Ralliart Concept Car” ke acara tersebut, disamping satu lagi model konsep kereta elektrik kecil “Kei EV Concept”.
Imej teaser yang disiarkan hanya menayang bahagian bampar belakang Ralliart Concept Car tersebut tanpa memberikan sebarang perincian lain. Bampar berkenaan menampilkan diffuser yang agak agresif bersama tip ekzos tengah, serta jalur sendeng merah-kuning ikonik Ralliart.
Manakala untuk Kei EV Concept, ia disifatkan sebagai Kei-Car (kereta dengan saiz mikro di Jepun yang menerima insentif khas) elektrik penuh generasi baharu tampil dengan “Mitsubishi Motors-ness” yang boleh dilihat pada ciri keselamatan, sekuriti, keselesaan dan juga sifat mesra alamnya.
EV kecil itu juga akan menggabungkan aspek mudah dikendali serta saiz praktikal sebuah Kei-Car dengan prestasi jalan raya yang lancar dan berkuasa sebuah kereta elektrik, dalam masa yang sama menawarkan sistem bantuan pemanduan termaju dan hubungan, dakwa MMC.
Mitsubishi juga mengesahkan bahawa Kei EV Concept ini akan dijelmakan sebagai model produksi dan bakal dijual di Jepun pada tahun fiskal hadapan. Untuk pengetahuan anda, tahun fiskal 2022 MMC adalah bermula April 2022 sehingga Mac 2023.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.