Subaru telah memberitahu bahawa mereka akan membawa sebuah kereta prototaip yang dibuat untuk kajian jentera lumba neutral-karbon, dipanggil sebagai STI E-RA Concept. Huruf ‘E’ tersebut mungkin menunjukkan ia menerima kuasa elektrik sementara RA itu pula adalah bermaksud Record Attempt, iaitu lencana yang sebelum ini pernah digunakan pada model serba ringan dan lebih memberi fokus kepada pemanduan litar.
Setakat ini cuma bahagian muka hadapan kereta konsep itu sahaja yang ditunjuk, dan ia menampakkan rekaan lampu yang seakan mengingatkan kembali kepada model konsep Viziv Performance yang pernah ditunjukkan padan tahun 2017. Kemasan akhir dan catnya pula seakan model konsep Viziv Performance STI tahun 2018.
Dalam gambar ini kita tidak boleh melihat lencana Subaru, tetapi di atas gril terdapat lencana STI berwarna merah jambu seperti biasa. Gril pula kelihatan berbeza berbanding model konsep Viziv Performance, dan mungkin menggunakan unit yang lebar dan bersambung sehingga ke lampu.
Turut akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2022 adalah model konsep WRX S4 STI Performance, yang merupakan versi lebih sporty bagi WRX generasi terkini, dan mendapat tambahan panel pada bampar hadapan, belakang serta side skirt yang dicat warna merah jambu. Melengkapkan penampilannya adalah sayap belakang gentian karbon seperti yang digunakan pada model S204.
Subaru juga akan mempamerkan kereta lumba BRZ GT300, iaitu jentera yang digunakan untuk perlumbaan Super GT musim 2021, dalam kategori GT300. Model lain yang juga akan berada di kawasan pameran adalah BRZ STI Performance dan Levorg STI Performance Concept.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.