Di Jepun, Yamaha mempunyai beberapa model skuter 125 cc, dan sekarang, ia ditambah dengan satu lagi iaitu Cygnus Gryphus. Ia disediakan sebagai pilihan yang lebih sporty berbanding Cygnus X, tetapi masih terletak di bawah NMax 155 di negara itu.
Sedikit lebih kecil berbanding NVX 155, Cygnus Gryphus menampilkan bentuk yang mengikut konsep rekaan terkini jenama itu, dengan lampu hadapan LED berbentuk tajam serta lampu belakang yang terpecah kepada tiga bahagian. Rim pula bersaiz 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.
Padan dengan konsep prestasi yang mahu dibawa, skuter ini turut dipasang dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera, namun tanpa sistem ABS. Yamaha sebaliknya menggunakan sistem Unified Brake System (UBS) yang bertindak seperti CBS oleh Honda, dengan mengaktifkan kedua-dua brek apabila tuil sebelah kiri ditarik kuat.
Penggerak Cygnus Gryphus adalah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 125 cc dengan teknologi VVA dan Bluecore, yang dipadankan bersama kotak gear CVT untuk menghasilkan kuasa 12 PS pada 8,000 rpm dan 11 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini juga dilengkapi dengan Smart Motor Generator (SMG) yang dapat membantu operasi pemula enjin menjadi lebih senyap.
Operasi penting enjin dapat dilihat melalui panel skrin LCD di hadapan penunggang, dan skuter ini juga datang dengan soket pengecas USB, tangki bahan api 6.1 liter, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang serta ruang simpanan 28 liter (boleh memuatkan satu helmet) di bawah tempat duduk.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.