Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

Selepas menyiarkan imej teaser minggu lalu, Volvo Cars Malaysia (VCM) nampaknya telahpun menyiarkan spesifikasi dan juga harga untuk model wagon V60 di laman sesawang mereka, sebelum model berkenaan dilancarkan secara rasmi.

Pasaran Malaysia nampaknya menerima V60 dengan unit penjana paling berkuasa iaitu plug-in hybrid (PHEV) Recharge T8, namun ia datang dalam kemasan mewah Inscription, berbanding kemasan lebih sporty R-Design untuk versi kembar sedannya iaitu S60.

Model ini datang terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan oleh kilang Volvo di Shah Alam, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM286,907, bersama pengecualian sepenuhnya cukai jualan. Jadi berbading S60 Recharge T8 R-Design, model ‘bumbung panjang’ V60 Recharge Inscription ini dijual pada harga RM4,000 lebih mahal.

Sama seperti model-model terkini Volvo, model ini turut menerima waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti untuk bateri hibrid selama lapan-tahun atau 160,000 km yang mana sampai dulu.

Seperti biasa, model wagon ini sudah pasti memberikan praktikaliti dan juga ruang kargo belakang yang lebih besar berbanding sedan. Untuk itu, V60 ini hadir dengan ruang but belakang berkapasiti 529 liter, berbanding hanya 442 liter untuk model sedan. Tak cukup? tempat duduk belakang turut boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang kargo keseluruhan 1,441 liter. But belakang model ini turut dilengkapi dengan pemegang barang runcit.

Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

Dengan lencana Recharge T8, V60 ini menerima unit rangkaian kuasa gandingan enjin Drive-E 2.0 liter yang disuap pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor stater/generator bersepadu dengan aci engkol serta kotak gear automatik Aisin lapan kelajuan bagi memacu roda hadapan, dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang.

Ia bukan sahaja menjadikan V60 tersebut sebuah model pacuan semua roda, malah dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 407 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 640 Nm bermula 1,200 hingga 5,400 rpm.

Dengan kemasan Inscription, V60 pasaran Malaysia ini diberikan rupa lebih elegen berbanding S60 R-Design dengan gaya lebih garang. Oleh itu, ia menampilkan bampar hadapan dengan kemasan aliran udara lebih kecil, lebih banyak kemasan-kemasan krom serta rim aloi 19-inci lima jejari berkembar yang berlainan rekaan.

Manakala pada bahagian dalaman, kabin V60 Inscription diberikan kemasan-kemasan Driftwood dan Linear Lime, berbanding kemasan-kemasan aloi pada S60 R-Design. Pembeli wagon ini turut ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit sama ada dalam warna Maroon Brown atau Charcoal.

Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 – harga disahkan RM287k untuk pasaran M’sia, 407 hp/640 Nm!

Model V60 pasaran Malaysia ini juga masih diberikan sistem infotainmen Sensus dengan skrin 9.7-inci yang diposisikan secara potret. Ia bukan sistem terkini yang dihasilkan berdasarkan sistem android, namun kelebihannya ia masih mampu menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang tidak ditawarkan untuk sistem baharu tersebut.

Kelengkapan lain yang turut dipadankan termasuk lampu hadapan LED adaptif,rel bumbung berwarna perak, sistem kemasukan tanpa kunci dengan penghidup enjin menggunakan suis tombol putar, sistem pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panaromik, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori, tombol gear kristal Orrefors, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, kamera 360-darjah, Park Assist serta sistem bunyi Harmann Kardonn 600-watt bersama 16-pembesar suara.

Untuk keselamatan, semua sistem bantuan pemanduan termaju Volvo pada S60 turut dibekalkan pada V60 ini. Ia termasuk sistem Pilot Assist dengan kebolehan pemanduan separa-autonomi Tahap 2, yang menggandingkan sistem cruise control adaptif dan juga bantuan pengekal tengah lorong.

Ia juga menerima brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar, bantuan stereng untuk mengelak, pengelak pelanggaran belakang, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan raya, pengelak masuk laluan bertentangan, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang bersama brek automatik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required