Vingroup, syarikat induk bagi jenama automotif Vietnam iaitu VinFast merekodkan kerugian sebelum cukai sekitar 23.9 trilion dong Vietnam (sekitar USD1 bilion atau RM4.4 bilion) pada segmen pembuatannya tahun lalu, menurut laporan Nikkei.
Kerugian tersebut adalah disebabkan jualan lembab bagi model-model VinFast yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman di Vietnam, dalam masa yang sama jenama tersebut membuat banyak pelaburan terhadap perniagaan kereta elektrik sepenuhnya (EV).
Tahun lalu, kereta dengan enjin konvensional VinFast mencatatkan jualan sebanyak 35,700 unit, atau meningkat 20% berbanding tempoh sama pada 2020. Walau bagaimanapun, kilang pemasangan syarikat berkenaan di Cat Hai, Hai Phong yang telah beroperasi sejak 2019 beroperasi dalam kapasiti yang sangat rendah, memandangkan fasiliti berkenaan dibina bagi menghasilkan 250,000 unit kereta setahun.
VinFast sebelum ini sudah pun menyatakan bahawa mereka akan mula menghentikan penghasilan kereta berkuasa petrol, dan akan bertukar kepada jenama elektrik sepenuhnya menjelang akhir 2022. VinFast turut menyatakan bahawa mereka telah menerima hampir 40,000 tempahan untuk model-model EV mereka dalam tempoh tidak sampai empat minggu selepas dilancarkan.
VF e34 merupakan model EV pertama VinFast, dilancarkan pada 2021. Tahun ini VinFast akan memperkenalkan model VF5, VF8 dan VF9, manakala VF6, VF7 dan juga model sedan baharu serta pelbagai model lain akan diperkenalkan bermula 2023.
Untuk bertukar menjadi syarikat EV sepenuhnya, Vingroup perlu membuat pelaburan yang besar termasuk untuk menyediakan kilang bateri serta mewujudkan jaringan pengedar di Amerika Syarikat dan Eropah. Menurut pengasas dan pengerusi Vingroup iaitu Pham Nhat Vuong kepada media, kerugian dalam perniagaan automotifnya memang sudah dijangka dalam masa terdekat.
Melihat kepada prestasi kewangannya, Vingroup merekodkan kerugian bersih kumulatif sekitar 7.5 trilion VND (sekitar RM1.38 bilion), berlawanan dengan keuntungan sebanyak 4.5 trilion VND (sekitar RM829 juta) yang dicatatkan pada 2020.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.